AM

Kes Perceraian Di Terengganu Meningkat

21/04/2026 02:34 PM

KUALA TERENGGANU, 21 April (Bernama) -- Peningkatan mendadak kes perceraian di Terengganu dilihat sebagai petunjuk awal krisis sosial yang memerlukan tindakan segera serta menyeluruh daripada semua pihak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang Zuraida Mohd Noor berkata statistik 2025 menunjukkan kes perceraian meningkat kepada 3,810 kes berbanding 2,798 kes pada 2024 dan 1,802 kes pada 2023, yang juga jumlah tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.

Beliau berkata data Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut meletakkan Terengganu dalam kelompok lapan negeri mencatatkan kes tertinggi bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun lepas.

“Ini bukan sekadar statistik, tetapi amaran kepada krisis sosial. Majoriti kes melibatkan pasangan muda dengan tempoh perkahwinan kurang 10 tahun (dan berlaku) akibat tekanan ekonomi, kegagalan komunikasi serta ketidakstabilan emosi,” katanya. 

Zuraida berkata demikian semasa membahaskan titah Pemangku Raja Terengganu pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan empat intervensi strategik menangani isu itu termasuk memperkukuh kestabilan ekonomi melalui peluang kerjaya dan keusahawanan serta mewajibkan pendidikan pengurusan kewangan sebelum perkahwinan.

Beliau juga menekankan keperluan menambah baik kursus praperkahwinan dengan modul lebih praktikal, menangani campur tangan pihak ketiga dan memperkukuh intervensi terhadap isu sosial, khususnya penagihan dadah.

Merujuk kepada statistik tahun lepas, beliau berkata sebanyak 296 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Terengganu dengan antara punca utama ialah perselisihan faham dan pengaruh dadah.

Sementara itu, Zuraida berkata jumlah pesakit kanser wanita di Terengganu meningkat 40 peratus dalam tempoh lima tahun, iaitu daripada 1,464 kes pada 2021 kepada 2,004 kes pada 2025 berdasarkan data Jabatan Ginekologi Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.

Beliau berkata antara kanser tertinggi melibatkan wanita di Terengganu ialah kanser payudara, kanser usus, kanser rahim, leukemia dan kanser ovari.

“Faktor obesiti dikenal pasti antara penyumbang utama peningkatan risiko kanser selari dengan dapatan kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi yang mengesahkan kaitan antara berat badan berlebihan dan kanser. 

“Keadaan di Terengganu amat membimbangkan apabila 76 peratus rakyat negeri ini berada dalam kategori obes manakala satu daripada tiga remaja turut mengalami masalah berat badan,” katanya.

Justeru, beliau menggesa langkah proaktif dilaksanakan, iaitu memperketat piawaian nutrisi makanan di sekolah, memperkenalkan pendidikan pemakanan sihat secara praktikal dan memperluas kempen kesedaran kaitan obesiti dengan risiko kanser dalam kalangan wanita.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan