JENAYAH & MAHKAMAH

Warga Emas Didakwa Buat Hantaran Hina Mahkamah

21/04/2026 01:13 PM

SEPANG, 21 April (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi menghina mahkamah menerusi media sosial pada Disember tahun lepas.

Idris Mohamad, 68, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan, OKS yang juga bapa kepada dua anak itu membuat dan memulakan hantaran komunikasi dengan niat menyakiti hati orang lain di Facebook menerusi akaun "Idris Mohamad" pada 22 Dis 2025.

Hantaran itu kemudian dilihat di Menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 1, Cyberjaya pada 3 petang, 23 Dis 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya dan dikenakan denda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan.

Pegawai Pendakwa MCMC Nazrul Nizam Mohd Zameri mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, namun Idris yang tidak diwakili peguam merayu diberi jaminan rendah kerana tidak bekerja dan perlu menjaga isteri yang menghidap masalah buah pinggang.

Mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 Mei depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan