KOTA KINABALU, 17 April (Bernama) -- Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Pristina, Kosovo, berpotensi menjalinkan kerjasama dan kolaborasi dalam pelbagai program, susulan lawatan akademik UMS ke universiti luar negara itu baru-baru ini.
Pensyarah Program Alam Bina, Fakulti Kejuruteraan UMS Prof Madya Dr Nur Fadilah Darmansah berkata kerjasama yang dibincangkan semasa lawatan ke universiti itu termasuklah program mobiliti pelajar dan penerbitan bersama.
“Selain itu, kolaborasi penyelidikan serta penganjuran persidangan akademik secara bersama itu turut dibincangkan,” kata Nur Fadilah dalam kenyataan dikongsikan UMS hari ini.
Beliau yang menerima jemputan universiti berkenaan untuk menyampaikan syarahan akademik berkata selain sesi syarahan, lawatan tersebut turut menjadi platform penting dalam memperkasakan kolaborasi antara kedua-dua institusi menerusi penglibatan beberapa fakulti berkaitan di Universiti Pristina.
“Ia termasuklah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Fakulti Seni bina,” katanya.
Nur Fadilah berkata jemputan itu, bukan sahaja satu pengiktiraran trerhadap kepakaran UMS dalam bidang alam bina, tetapi membuka ruang baharu dalam memperluas jaringan antarabangsa UMS ke peringkat global.
Beliau berharap jaringan kerjasama dengan universiti Pristina itu, dapat memberi impak positif kepada pembangunan akademik dan penyelidikan UMS.
“Ia sekali gus memperkukuh kedudukan UMS sebagai institusi yang aktif dalam pengantarabangsaan pendidikan tinggi. Usaha ini bukan sahaja membuka peluang kepada pertukaran ilmu dan kepakaran, malah meningkatkan keterlihatan UMS pada peringkat global,” katanya.
Beliau berkata lawatan ke Universiti Pristina itu, mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam memperluas hubungan strategik antarabangsa serta meningkatkan peluang kolaborasi berimpak tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial