EKONOMI

CIMB Securities Rendahkan Unjuran ADV Bursa Malaysia Bagi Tahun Kewangan 2026-2028

15/04/2026 09:11 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- CIMB Securities Sdn Bhd merendahkan unjuran purata nilai dagangan harian (ADV) pasaran ekuiti Bursa Malaysia Bhd bagi tahun kewangan 2026, 2027 dan 2028 masing-masing kepada RM3.1 bilion, RM3.2 bilion dan RM3.3 bilion.

Firma pembrokeran itu sebelum ini mengunjurkan ADV operator bursa itu bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 masing-masing pada RM3.3 bilion, RM3.4 bilion dan RM3.5 bilion.

Menurut CIMB Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya, unjuran berkenaan sebahagiannya diimbangi oleh ramalan purata kontrak harian derivatif (ADC) yang tinggi iaitu 96,500 hingga 101,300 berbanding 90,000 hingga 92,400 sebelum ini.

“Sehubungan itu, kami telah merendahkan unjuran keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2026, 2027 dan 2028 masing-masing sebanyak 3.7 peratus, 4.5 peratus dan 4.0 peratus.

“Walaupun unjuran pendapatan tahun kewangan 2026 diunjur berkembang kukuh 16.2 peratus tahun ke tahun, pertumbuhan dijangka kembali normal bagi tahun kewangan 2027 dan 2028 kepada 3.2 peratus dan 2.8 peratus tahun ke tahun sekali gus mencerminkan prospek jangka sederhana yang lebih perlahan,” katanya. 

Menurutnya Bursa Malaysia dijangka mengumumkan prestasi suku pertama tahun kewangan 2026 pada 30 April 2026.

Berdasarkan data dagangan pasaran ekuiti, ADV, yang merangkumi dagangan di pasaran dan urus niaga langsung meningkat 23 peratus tahun ke tahun kepada RM3.5 bilion berikutan fasa pelabur berani mengambil risiko (Januari-Februari 2026), penyertaan pelabur bertambah, sentimen positif dan peningkatan aliran asing, katanya.

“Ini diikuti oleh fasa mengelak risiko (Mac 2026) berikutan peningkatan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang menyebabkan lonjakan turun naik pasaran (44 peratus suku pertama 2026) sekali gus mendorong penjualan ketara di pasaran, penyusunan semula portfolio dan peningkatan premium risiko pelabur yang tinggi,” katanya.

Firma pembrokeran itu turut memaklumkan bahawa aktiviti pasaran derivatif mengukuh pada suku pertama 2026 dengan kontrak derivatif yang didagangkan meningkat 5.2 peratus tahun ke tahun kepada 6.2 juta.

Keadaan ini disokong oleh pertumbuhan 6.0 peratus tahun ke tahun bagi kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO), yang menyumbang 84 peratus daripada jumlah kontrak manakala jumlah dagangan FBM KLCI Futures (FKLI) kekal tidak berubah tahun ke tahun.

“Gabungan dagangan ekuiti dan derivatif dijangka menjana unjuran keuntungan bersih RM81.9 juta pada suku pertama 2026, bersamaan 27.6 peratus daripada unjuran keuntungan bersih tahun kewangan 2026 yang telah disemak semula kepada RM290.8 juta (turun 3.7 peratus daripada RM302 juta) dan mewakili 28.4 peratus daripada anggaran konsensus RM288.5 juta.

“Kami menurunkan saranan saham Bursa Malaysia daripada ‘Beli’ kepada ‘Pegang’ berikutan kami merendahkan harga sasaran kepada RM9.00 (daripada RM9.70), mencerminkan penurunan unjuran pendapatan tahun kewangan 2026-2028,” menurut firma pembrokeran itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan