JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN Pulau Pinang Tumpas Kegiatan Seleweng Diesel

15/04/2026 07:27 PM

BUTTERWORTH, 15 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel melibatkan rampasan 5,000 liter bahan api itu susulan serbuan terhadap sebuah stor tanpa lesen di Sungai Lokan di sini, petang tadi.

Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata operasi pada 3 petang itu dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa hasil risikan sejak minggu lepas setelah menerima maklumat terdapat aktiviti memindahkan minyak bersubsidi di premis terbabit.

“Hasil pemeriksaan telah menemukan cecair disyaki diesel di dalam sebuah tangki yang dianggarkan berjumlah 5,000 liter. 

“Pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut gagal mengemukakan dokumen berkaitan lesen atau permit untuk memiliki dan mengurus barang kawalan berjadual seperti yang diwajibkan di bawah undang-undang,” katanya pada sidang media di lokasi, hari ini.

Jegan berkata modus operandi digunakan sindiket ialah menjadikan lokasi itu sebagai tempat pemindahan cecair minyak diesel dari lori-lori yang dipercayai mengutip minyak di stesen-stesen di sekitar Pulau Pinang sebelum dijual semula dipercayai kepada pihak industri.

Jegan berkata seorang lelaki warganegara Myanmar berumur lingkungan 30-an yang merupakan pekerja di premis berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.

Selain itu, beliau berkata pihaknya menyita tangki IBC dan Skid Tank, satu set hos paip dan satu unit pam, serta beberapa dokumen perniagaan berkaitan bagi membantu siasatan lanjut dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM60,000.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati premis itu telah sebulan beroperasi dan usaha sedang digerakkan bagi mengenal pasti pemilik serta individu yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan