AM

Diskaun Tiket ETS, Pas Bulanan Baharu Pemangkin Peralihan Rakyat Kepada Pengangkutan Awam

15/04/2026 05:57 PM

Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan & Norhayati Mohd Akhir

PUTRAJAYA, 15 April (Bernama) -- Inisiatif pemberian diskaun bagi pembelian tiket tren elektrik (ETS) dan pengenalan dua pas perjalanan bulanan perkhidmatan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dilihat berpotensi menjadi pemangkin perubahan tabiat mobiliti rakyat, khususnya dalam kalangan penjawat awam.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata inisiatif yang diumumkan Kementerian Pengangkutan (MOT) semalam mampu meningkatkan daya tarikan pengangkutan awam sebagai alternatif kepada kenderaan persendirian.

“Ia berpotensi menggalakkan (penggunaan pengangkutan awam) tetapi kesannya bergantung pada pelaksanaan.

“Secara asas, inisiatif seperti diskaun tambang dan penambahbaikan akses atau perkhidmatan boleh menarik pengguna baharu, khususnya golongan komuter yang sensitif terhadap kos. Ini membantu menjadikan pengangkutan awam lebih kompetitif berbanding kenderaan persendirian,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Sivamurugan berkata diskaun 30 peratus bagi pembelian tiket ETS akan menarik pengguna marginal untuk beralih daripada kereta kepada perkhidmatan kereta api.

“Ia akan mengurangkan penggunaan petrol atau diesel dan sedikit kesesakan di koridor yang dilalui tren.

“Ini adalah strategi jangka pendek atau bersasar yang bersesuaian untuk krisis, iaitu respons kepada tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan harga tenaga global,” katanya, sambil menambah kecekapan perkhidmatan kereta api akan meningkatkan lagi jumlah pengguna pada masa hadapan.

Sivamurugan ketika mengulas mengenai pas bulanan berkata langkah itu berpotensi mengurangkan kebergantungan penjawat awam terhadap kenderaan sendiri, sekali gus membantu mengurangkan penggunaan bahan api dan kesesakan ke pusat pentadbiran negara itu.

Beliau bagaimanapun menegaskan keberkesanan inisiatif itu masih bergantung kepada pelaksanaan dan penambahbaikan perkhidmatan secara menyeluruh.

“Perubahan tingkah laku juga dijangka berlaku secara konsisten jika disokong oleh faktor lain seperti kekerapan tren yang tinggi, ketepatan masa, keselesaan dan keselamatan. Saya percaya MOT akan terus meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk menjadi berkesan bagi jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, pekerja restoran makanan segera di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 Nur Alyaa Qistina Mohd Bazlisham, 25, berkata pengenalan MyKLIA Monthly Travel Card membolehkannya menikmati penjimatan lebih tinggi berbanding pas bulanan sedia ada.

“Jika sebelum ini saya membayar RM230 sebulan bagi kad sedia ada untuk perjalanan dari stesen Putrajaya ke KLIA, kini hanya RM150 untuk perjalanan tanpa had. Ini bermakna saya dapat jimat RM80 setiap bulan,” katanya.

Penjawat awam Mohd Amir Irfan Mohd Khusairi, 33, pula menyifatkan langkah berkenaan sebagai tepat pada masanya dalam membantu pekerja yang bergantung kepada pengangkutan awam setiap hari untuk ke tempat kerja.

Mohd Amir Irfan berkata beliau sebelum ini membayar RM4.70 untuk perjalanan sehala dari rumah sewanya di Putrajaya ke Salak Tinggi, Sepang namun dengan MyPutrajaya Monthly Travel Card kelak, kos itu dijangka berkurangan dengan membayar RM75 untuk perjalanan tanpa had bagi tempoh sebulan.

“Pas bulanan baharu ini memberikan fleksibiliti kepada saya untuk berulang-alik tanpa perlu memikirkan kos tambahan, sekali gus mengurangkan tekanan kewangan,” katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan pemberian diskaun 30 peratus bagi pembelian tiket ETS untuk semua sektor serta tren Ekspres Rakyat Timuran (ERT) laluan JB Sentral-Tumpat-JB Sentral sebagai langkah membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup susulan kenaikan harga bahan api akibat krisis di Asia Barat.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) serta perkhidmatan ERL yang akan memperkenalkan dua pas perjalanan bulanan baharu, iaitu MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya serta MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia yang bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan