KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Pemenang dua pingat emas Olimpik Viktor Axelsen, hari ini mengumumkan persaraannya daripada badminton profesional pada usia 32 tahun, berikutan masalah kecederaan belakang yang berulang.
Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata tubuhnya tidak lagi mampu untuk bersaing dan berlatih pada tahap tertinggi.
“Selepas menjalani pembedahan endoskopik, pelbagai suntikan, kaedah latihan baharu, rawatan dan pada asasnya mencuba segala-galanya untuk bebas daripada kesakitan sejak sekian lama, saya telah dinasihatkan untuk memberi tumpuan kepada kesihatan jangka panjang.
“Menerima keadaan ini amat sukar. Namun, saya kini sampai ke satu tahap yang tubuh saya tidak lagi membenarkan saya untuk meneruskannya,” katanya dalam satu kenyataan di media sosialnya.
Axelsen, yang menjadi pemain profesional pada tahun 2010, bersara dengan rekod sebagai antara pemain badminton perseorangan lelaki paling berjaya dalam sejarah sukan itu.
Sepanjang kerjayanya, pemain dari Denmark itu telah memenangi kebanyakan kejuaraan utama sekurang-kurangnya sekali, termasuk Sukan Olimpik, Kejohanan Dunia, All England dan Piala Thomas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial