JENAYAH & MAHKAMAH

Penjawat Awam Rugi Lebih RM50,000 Ditipu Tiga Sindiket

15/04/2026 10:12 AM

KUALA TERENGGANU, 15 April (Bernama) -- Seorang penjawat awam lelaki kerugian sebanyak RM53,035.49 selepas diperdaya sindiket penipuan pembelian dalam talian, khidmat pegawai perunding palsu dan tawaran pinjaman wang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 8 April lepas, mangsa yang berusia 48 tahun telah melihat iklan tawaran jualan kereta di laman sosial Facebook.

Beliau berkata mangsa yang tertarik telah menghubungi suspek dan bersetuju membuat pembelian dengan enam kali pembayaran ke lima akaun berbeza berjumlah RM15,955.49.

"Mangsa bagaimanapun berasa tertipu dengan urusan pembelian kereta berkenaan dan membuat carian di Facebook untuk mendapatkan khidmat perunding bagi menyelesaikan masalah yang timbul.

"Dia kemudiannya membuat pembayaran sebanyak RM7,280 kepada suspek yang menyamar sebagai pegawai perunding yang dikenali di Facebook pada 11 April lepas. Dalam masa sama, mangsa cuba membuat pinjaman wang secara dalam talian untuk menyelesaikan masalah pembelian kereta itu," katanya.

Azli berkata mangsa yang terdesak untuk membuat pinjaman telah membuat pindahan wang berjumlah RM29,800 kepada sindiket pinjaman wang tidak wujud pada 13 April dan semalam, kononnya sebagai bayaran pengurusan.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada 4.29 petang semalam setelah menyedari ditipu.

"Sumber kewangan mangsa adalah melalui wang simpanan dan pinjaman oleh keluarga. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan