JENAYAH & MAHKAMAH

Dialog Khas V ​​​​​​​PDRM Platform Strategik Perkukuh Keselamatan Negara

14/04/2026 08:01 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Usaha memperkukuh ekosistem keselamatan negara terus diperkasa menerusi penganjuran Dialog Khas V Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2026 yang menghimpunkan agensi, industri dan pakar dalam satu platform bagi mengangkat wacana keselamatan ke tahap lebih dinamik. 

Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid berkata siri dialog yang dianjurkan melalui Jabatan Pengurusan dengan kerjasama rakan strategik Alpine Integrated Solution Sdn Bhd itu adalah manifestasi usaha PDRM dalam memperkukuh perkongsian antara agensi, industri dan pemegang taruh dalam mendepani landskap ancaman yang semakin kompleks serta tidak bersempadan.

“Sejak diperkenalkan, siri dialog khas telah berkembang daripada platform berskala kecil kepada inisiatif nasional berprofil tinggi yang menghimpunkan pelbagai kepakaran serta perspektif strategik. 

“Transformasi ini dizahirkan melalui penstrukturan semula kepada format tahunan berskala besar selama dua hari, sekali gus memperluas ruang diskusi serta memperkasa penglibatan menyeluruh semua jabatan dalam PDRM dan rakan kolaboratif di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata Dialog Khas V digarap dengan objektif strategik yang jelas, termasuk memposisikannya sebagai platform premier keselamatan negara, memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi, kerajaan dan industri serta mengarusperdanakan perkongsian ilmu, kepakaran dan teknologi terkini.

Selain itu, Abdul Aziz berkata penganjuran program berkenaan turut bertujuan memacu inovasi dalam sistem keselamatan berteraskan pendekatan bersepadu.

Beliau berkata empat jabatan teras PDRM akan menerajui sesi persidangan dan forum, iaitu Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam. 

“Perbincangan akan merangkumi spektrum isu keselamatan kontemporari termasuk jenayah siber, penipuan kewangan, pengedaran dadah, ancaman keselamatan baharu, pengurusan ketenteraman awam serta integrasi teknologi dalam kepolisan moden,” katanya.

Program itu turut menampilkan segmen pameran yang memfokuskan kepada teknologi dan inovasi terkini dalam bidang penguatkuasaan undang-undang serta keselamatan dalam negeri selain berfungsi sebagai medan strategik bagi pemindahan teknologi dan pemerkasaan keupayaan operasi PDRM secara menyeluruh.

Dialog Khas V dijangka mencatat penyertaan berskala besar dengan penglibatan 200 pempamer dari 10 negara, 3,000 pengunjung perdagangan dan kerajaan, 200 tetamu kehormat serta lebih 100 penceramah dalam 30 sesi utama.

Abdul Aziz berkata penganjuran itu bukan sekadar sebuah acara, sebaliknya manifestasi komitmen nasional dalam memastikan keselamatan negara terus dipelihara melalui pendekatan kolaboratif, inovatif dan berteraskan kecemerlangan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan