POLITIK

PKR Sokong Seruan Perdamaian Oleh Paus Leo XIV

14/04/2026 07:16 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Biro Hal Ehwal Antarabangsa PKR menyatakan solidariti terhadap Paus Leo XIV, serta memuji pendirian berprinsipnya dalam isu ketegangan global yang semakin memuncak melibatkan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan sekutunya ke atas Iran.

Pengerusi biro berkenaan Dr Maszlee Malik berkata seruan Paus untuk mengutamakan keamanan dan kawalan diri dilakukan pada waktu yang cukup kritikal ketika dunia berdepan risiko konflik yang lebih besar.

Seruan Paus adalah gesaan tegas untuk kewarasan, kawalan diri dan kesucian nyawa manusia, katanya sambil memuji kenyataan tokoh itu bahawa perang tidak boleh dibenarkan atas nama agama.

Maszlee berkata biro itu turut memuji keberanian Paus Leo  XIV yang lantang bersuara walaupun menerima kritikan, menyifatkannya sebagai lambang keberanian moral dalam menghadapi hegemoni beligeren.

Dalam pada itu, beliau berkata PKR mengecam sekeras-kerasnya kenyataan terbaharu Trump terhadap Paus, menyifatkannya sebagai “biadab” dan tingkah laku kurang sopan dari segi diplomatik.

Bagi seorang pemimpin politik menolak Paus sebagai “lemah dalam isu jenayah” dan “teruk dalam dasar luar” semata-mata kerana beliau menggesa dialog berbanding peperangan adalah kemuncak kejelikan diplomatik, katanya.

Maszlee berkata kenyataan sedemikian menjejaskan prinsip kebebasan beragama dan moral, di samping mencerminkan corak dasar luar unilateral dan agresif yang lebih luas oleh pentadbiran AS.

Beliau turut mengulangi pendirian biro itu bahawa tindakan seperti serangan ketenteraan melanggar undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta memberi amaran terhadap apa yang disifatkannya sebagai “delusi maha kuasa” dalam kepimpinan global.

Kenyataan itu mengulangi kebimbangan dibangkitkan pemimpin global dan komuniti Katolik, yang menyifatkan kenyataan Trump sebagai penghinaan bukan sahaja kepada penganut Katolik di seluruh dunia, tetapi juga kepada mereka yang menghargai keamanan dan diplomasi.

PKR menggesa masyarakat antarabangsa supaya menyokong gesaan Vatican untuk meredakan ketegangan dengan segera serta kembali kepada diplomasi multilateral.

Pada Ahad, Trump mengkritik Paus Leo XIV menerusi satu hantaran di Truth Social, menyifatkan Paus itu “teruk” dalam dasar luar dan “lemah dalam isu jenayah”, susulan gesaan berulang tokoh itu agar konflik berkenaan dihentikan.

Menurut laporan, Paus telah menggesa pemimpin dunia supaya mencari jalan perdamaian dan menghentikan permusuhan, sambil memberi amaran terhadap bahaya tindakan agresif didorong kuasa di tengah-tengah ketegangan yang berterusan di Asia Barat.

AS dan Israel melancarkan kempen pengeboman berskala besar terhadap Iran pada 28 Feb, sekali gus mencetuskan tindak balas Tehran melalui serangan di seluruh Asia Barat, dengan gencatan senjata yang rapuh sedang berkuat kuasa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan