AM

Satu Lagi Operasi Pembenihan Awan Dilaksana Di Melaka, Johor Minggu Depan - Arthur

14/04/2026 04:11 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Satu lagi operasi pembenihan awan (OPA) akan dilaksanakan minggu depan di Melaka dan Johor, berikutan keadaan cuaca panas dan kering berpanjangan, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata kementeriannya melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memantau rapat situasi cuaca semasa yang mencatatkan peningkatan suhu  hingga 37.5 darjah Celcius dalam tempoh peralihan monsun.

“Minggu lepas, kita telah memulakan operasi pembenihan awan di beberapa negeri dan kita melihat hasil yang memberangsangkan. Bagaimanapun, peningkatan paras air sungai masih belum mencapai tahap diharapkan.

“Oleh itu, kita telah menerima permohonan untuk melaksanakan satu lagi operasi pembenihan awan di Johor dan Melaka minggu depan sebagai langkah mitigasi susulan keadaan cuaca panas dan kering berterusan, yang dijangka hingga Mei dan Jun,” katanya kepada pemberita pada prapelancaran Minggu Kelestarian Antarabangsa (ISW) 2026 di sini hari ini.

Sebagai langkah mitigasi awal, kerajaan telah melaksanakan operasi pembenihan awan selamat empat hari bermula 6 April dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang menumpukan empangan utama di Perlis, Kedah, Kelantan, Perak, Pahang dan Johor, bagi membantu mengekalkan bekalan air untuk kegunaan domestik dan pertanian.

Sementara itu, Arthur berkata Malaysia terus berhubung rapat dengan negara jiran memandangkan keadaan kering berpotensi meningkatkan risiko jerebu rentas sempadan sekiranya berlaku kebakaran.

Beliau berkata pemantauan berterusan dan nasihat akan dikeluarkan dari semasa ke semasa mengikut perkembangan situasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan