JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas Pengurus Pentadbiran Didakwa Salah Guna Jawatan Terima Komisen Insurans

14/04/2026 02:16 PM

MELAKA, 14 April (Bernama) -- Bekas pengurus pentadbiran Melaka Halal Hub Sdn Bhd (MHHSB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan jawatan untuk menerima suapan berbentuk komisen insurans berjumlah lebih RM2,000, tiga tahun lepas.

Erwan Abdul Aziz, 45, didakwa sebagai pegawai badan awam telah menggunakan jawatannya bagi memperoleh suapan berupa komisen RM1,096.57 dengan mencadangkan sebut harga sebuah syarikat milik isterinya yang dilantik sebagai ejen insurans.

Pelantikan itu bagi melaksanakan pembelian insurans kebakaran MHHSB dengan nilai premium RM7,310.48 untuk perlindungan berjumlah RM6 juta.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengulangi perbuatan sama dengan memperoleh komisen RM1,102.20 melalui cadangan pelantikan isterinya sebagai ejen bagi sebuah syarikat insurans berbeza untuk perkhidmatan insurans kebakaran MHHSB, dengan nilai premium RM7,348 bagi nilai perlindungan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat MHHSB di daerah Jasin pada 27 Sept 2022 dan 27 Sept 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM Noor Julieana Yahaya dan Nur Syakila Yaacob mencadangkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa serta melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM Melaka sebulan sekali sehingga kes selesai.

Peguam Ishak Mohd Kari yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Hakim Elesabet Paya Wan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan serta menetapkan 14 Mei ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan