JENAYAH & MAHKAMAH

Inisiatif Pelan Antirasuah Nasional Bukti IPT Benteng Pertama Perangi Rasuah - UPNM

13/04/2026 11:23 PM

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Inisiatif Pelan Antirasuah Nasional membuktikan institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai benteng pertama dalam memerangi gejala rasuah di negara ini.

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) iaitu kursus Mata Pelajaran Umum (MPU) yang diwajibkan di seluruh IPT serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah instrumen kritikal dalam melahirkan generasi celik integriti.

“Melalui modul komprehensif yang merangkumi perundangan utama seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, KIAR membentuk generasi muda yang memahami, menolak dan membenci rasuah dalam segenap aspek kehidupan, selaras dengan Pelan Antirasuah Nasional,” menurut kenyataan itu.

Menurut UPNM, impak pedagogi itu bukan diukur dalam tempoh satu penggal tetapi dalam setiap keputusan yang dibuat oleh graduan sepanjang kerjaya mereka.

“UPNM mengambil maklum perbincangan awam berhubung isu integriti di IPT negara. UPNM berpandangan bahawa generalisasi “IPT lubuk rasuah” terhadap semua IPT perlu ditangani dengan fakta, bukan prejudis,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan universiti berkenaan tidak berkompromi dalam hal tadbir urus dan sentiasa terbuka kepada penambahbaikan sistem bagi menutup sebarang ruang penyelewengan.

“Usaha membanteras rasuah adalah perjuangan bersama yang memerlukan komitmen pelbagai pihak merangkumi institusi, individu dan masyarakat,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan