KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) melancarkan Token-X, sebuah program pemecut yang bertujuan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam ekosistem aset digital, inovasi rantaian blok serta ekonomi Web3 yang semakin berkembang pesat.
Inisiatif di bawah rangka kerja Triple-X Accelerator itu direka untuk menyokong syarikat pemula (start-up) dan syarikat berkembang (scale-up) berpotensi tinggi dalam membangunkan, mengesahkan serta menskalakan penyelesaian dalam bidang kewangan digital dan pengetokenan aset.
Menurut Sidec dalam kenyataan hari ini, Token-X memberi tumpuan kepada pemangkinan inovasi merentas lima bidang utama, iaitu pengetokenan aset dunia sebenar, komoditi dan kredit karbon, sekuriti digital dan tawaran token, infrastruktur rantaian blok serta teknologi kawal selia (regtech), selain inovasi harta intelek digital dan token tidak boleh ganti (NFT).
Program itu turut memperluas fokus kepada ekosistem aset digital yang lebih luas termasuk kewangan terdesentralisasi (DeFi), teknologi kewangan, regtech serta teknologi insurans, selaras dengan keperluan industri yang semakin kompleks dan dinamik.
“Melalui Token-X, pengasas dan inovator akan memperoleh akses kepada persekitaran pemecut yang berstruktur, yang merapatkan jurang antara teknologi, perniagaan dan kesiapsiagaan kawal selia. Ini bagi memastikan penyelesaian yang dibangunkan bukan sahaja inovatif, malah berdaya maju secara komersial,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Sidec, Yong Kai Ping, berkata pelancaran Token-X mencerminkan komitmen Selangor dalam membina ekosistem ekonomi digital yang bersedia menghadapi masa depan, dengan memperkasa pengasas untuk beralih daripada fasa percubaan kepada aplikasi dunia sebenar.
“Ketika aset digital dan pengetokenan terus membentuk semula landskap industri global, kami komited untuk menyokong pencipta inovasi membangunkan penyelesaian yang berskala, patuh peraturan dan memberi impak, sekali gus meletakkan Malaysia di barisan hadapan transformasi ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial