ARAU, 13 April (Bernama) -- Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Perpaduan Negara menyalurkan peruntukan khas lebih RM2 juta kepada masyarakat Siam di negara ini dari 2023 hingga tahun lepas.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata peruntukan khas itu untuk melaksanakan inisiatif berkaitan pendidikan bahasa ibunda, pemeliharaan kebudayaan serta pengukuhan adat resam masyarakat Siam.
Beliau berkata sebanyak RM750,000 diperuntukkan pada tahun lepas manakala RM840,000 (2024) dan RM500,000 (2023).
“Kita beri jaminan akan terus membantu dalam aktiviti atau kegiatan yang sama kerana saya melihat ia adalah satu usaha untuk kita menjaga aset negara dan keunikan Malaysia yang kita cintai ini," katanya ketika berucap merasmikan perayaan Songkran Peringkat Kebangsaan 2026 di Wat Macchimaprasit, Jejawi di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.
Aaron berkata warisan budaya seperti Songkran adalah jambatan yang menghubungkan semua dalam satu identiti nasional yang utuh dan ia mencerminkan kekuatan Malaysia sebagai negara yang menjadikan kepelbagaian sebagai aset, bukan perbezaan.
"Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memelihara khazanah ini terus terpelihara agar generasi akan datang dapat mewarisi, menghargai dan berbangga dengan keunikan negara yang kita cintai ini," katanya.
Beliau berkata berdasarkan data, jumlah penduduk berketurunan Siam di Malaysia dianggarkan 70,000 orang dengan pecahan signifikan tertumpu di negeri utara Semenanjung seperti Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan.
Dalam pada itu, menerusi kenyataan media Kementerian Perpaduan Negara sempena perasmian perayaan Songkran itu, Aaron berharap pihak media dapat memberikan lebih tumpuan kepada etnik Siam di Malaysia memandangkan masih ramai yang kurang mengetahui kewujudan dan peranan komuniti itu dalam landskap masyarakat negara ini.
"Kekeliruan yang sering timbul, termasuk tanggapan bahawa etnik Siam hanya ada di Thailand, perlu diperbetulkan melalui penyampaian maklumat yang tepat dan berterusan.
"Naratif kepelbagaian ini perlu diangkat secara lebih meluas agar masyarakat dapat memahami, menghargai dan seterusnya memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.
Pada majlis perasmian itu, Jauwadee Bun Chea dari Chuping, Padang Besar dinobatkan sebagai Ratu Songkran Peringkat Kebangsaan 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial