EKONOMI

Saham O&G, Perladangan Terajui Keuntungan Awal Susulan Kebimbangan Sekatan Selat Hormuz

13/04/2026 11:58 AM

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Saham minyak dan gas (O&G) serta perladangan antara mencatatkan keuntungan dalam dagangan awal hari ini susulan pengumuman Amerika Syarikat (AS) mengenai sekatan ke atas Selat Hormuz, dijangka akan meningkatkan harga minyak global.

Pada jam 9.57 pagi, kaunter berkaitan O&G seperti Petronas Dagangan naik 28 sen kepada RM21.08, Petronas Chemicals melonjak 25 sen kepada RM6.07 dan Hibiscus Petroleum menokok sembilan sen kepada RM2.18, saham perladangan termasuk United Plantations menambah 28 sen kepada RM33.28 dan SD Gurthie meningkat 10 sen kepada RM6.09.

Menurut Penyelidikan M+ Global oleh Malacca Securities Sdn Bhd, laluan perairan itu menghadapi kekangan berkembar daripada Iran dan AS, memandangkan Tehran telah memberi isyarat bahawa mereka tidak tergesa-gesa untuk membuka semula selat berkenaan, manakala Tentera Laut AS bersedia untuk mula menyekat kapal-kapal yang memasuki atau keluar laluan tersebut.

“Ini dijangka akan mendorong menaikkan harga minyak dan gas asli cecair (LNG) lebih tinggi, memandangkan kira-kira 25 peratus minyak global dan 20 peratus bekalan LNG melalui selat itu,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

“Selain itu, ia juga berpotensi diterjemahkan kepada peluang perdagangan dalam sektor O&G dan kimia.

“Sentimen juga akan meningkatkan sektor perladangan, memandangkan pasaran mungkin beralih kepada biobahan api sebagai pengganti sebahagian bahan api fosil,” katanya.

Ketika berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent meningkat 6.91 peratus kepada US$101.78 setong.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan