AM

Polis Tempatkan Segera Anggota Awasi 80 Stesen Minyak Sempadan - Saifuddin Nasution

11/04/2026 09:22 PM

PADANG BESAR, 11 April (Bernama) -- Polis akan menempatkan anggota di 80 stesen minyak berhampiran sempadan dengan segera bagi mengekang aktiviti penyeludupan petrol dan diesel susulan krisis tenaga global ketika ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata arahan sudah diberikan kepada Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail untuk tindakan lanjut termasuk mengatur penugasan anggota bagi mengawasi stesen minyak berhampiran sempadan, sekali gus memantau serta membanteras penyeludupan bahan api.

“Penglibatan pihak polis dalam mengawasi stesen minyak di sempadan ini bukan bersifat kekal. Apabila krisis berakhir, kita akan menilai semula peranan itu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja dan pemantauan operasi kawalan sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, penglibatan polis dalam pemantauan itu tidak akan menjejaskan tugas hakiki pasukan berkenaan, termasuk membanteras jenayah narkotik, trafik dan komersial.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama agensi penguat kuasa lain seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan mempertingkat kesiapsiagaan bagi mengekang ketirisan serta penyeludupan bahan api dan barangan kawalan lain.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 735 kes penyeludupan petrol, diesel dan barangan kawalan lain direkodkan, membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM2.81 bilion bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Mac lalu di kawasan di bawah tanggungjawab Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), meliputi Kedah, Perlis dan Perak.

“Seramai 1,460 individu ditahan membabitkan kes berkenaan,” katanya.

— BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan