KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan setakat ini tiada sebarang bukti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlibat dalam kegiatan manipulasi korporat, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Beliau berkata sepanjang siasatan dijalankan sehingga sekarang, pihaknya masih belum menemukan sebarang bukti mengenai penglibatan SPRM dalam kegiatan berkenaan.
"Daripada peringkat awal hari itu hingga hari ini, tidak ada lagi (bukti) penglibatan daripada SPRM. Tetapi, kita akan meneruskan siasatan sebab tadi diarahkan untuk kita meneruskan siasatan," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata pihaknya masih perlu merakam keterangan beberapa individu yang berada di dalam dan luar negara dalam siasatan berkenaan.
Beliau berkata tindakan susulan untuk memanggil individu di luar negara berkenaan sedang diusahakan.
"Kita boleh panggil dia, tapi itulah, bila melibatkan negara asing ini, perlukan kerjasama antara G-to-G (kerajaan ke kerajaan) dan juga agensi ke agensi," jelasnya.
Sebelum ini, Bloomberg pada 12 Feb lepas mendakwa kegiatan manipulasi korporat menyusup masuk ke dalam SPRM dengan pegawai tertinggi agensi itu terlibat dalam skim yang didalangi rangkaian ahli perniagaan bagi mengambil alih syarikat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial