DUNIA

Malaysia Kecam Serangan Berterusan Israel Terhadap Lubnan

09/04/2026 10:04 AM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan yang berterusan oleh rejim Zionis Israel terhadap Lubnan, yang boleh membahayakan keamanan dan keselamatan global, menurut Kementerian Luar Negeri pada Khamis.

Kementerian yang turut dikenali sebagai Wisma Putra, dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan pencerobohan yang berulang itu merupakan pencabulan nyata terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Lubnan, serta pelanggaran terus undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

“Peningkatan konflik ini juga menggugat secara serius perjanjian gencatan senjata selama dua minggu yang dicapai antara Amerika Syarikat dan Iran, serta mengancam untuk mengheret rantau tersebut ke dalam konflik yang lebih luas,” menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra,  ia turut akan menjejaskan usaha diplomatik semasa, serta berisiko mengakibatkan ketidakstabilan menyeluruh di Asia Barat, dengan implikasi buruk terhadap keamanan dan keselamatan global.

Malaysia menggesa komuniti antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengambil tindakan segera dan tegas bagi memastikan rejim Zionis Israel bertanggungjawab atas pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan, menurut kenyataan itu.

Kementerian berkata, tindakan Israel mesti dihentikan segera bagi mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa yang tidak berdosa dan bagi melindungi kedaulatan Lubnan.

Wisma Putra juga menegaskan sokongan Malaysia yang tidak berbelah bahagi kepada Kerajaan dan rakyat Lubnan, serta kekal teguh dengan pendiriannya bahawa keamanan hanya boleh dicapai melalui penghentian semua serangan dan persengketaan selain komitmen jitu terhadap penyelesaian diplomatik yang aman, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan