DUNIA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah, Menjejaki Kelemahan Harga Minyak Mentah

08/04/2026 10:24 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini, mencerminkan penurunan harga minyak mentah berikutan gencatan senjata yang diumumkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Iran, kata penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Sathia Varqa.

“Harga minyak sawit jatuh secara mendadak, menjejaki penurunan harga minyak mentah berikutan gencatan senjata bersyarat AS-Iran,” katanya kepada Bernama.

Sekarang ini, minyak mentah Brent susut 17.03 peratus kepada US$90.66 setong.

Awal hari ini, AS dan Iran bersetuju dengan gencatan senjata sejurus sebelum tamat tarikh akhir yang ditetapkan oleh Presiden AS Donald Trump, yang telah mengancam untuk membuat serangan besar ke atas sektor tenaga Iran melainkan Tehran membuka semula Selat Hormuz menjelang Rabu.

Pada penutupan, kontrak April dan Mei 2026 turun RM173 setiap satu kepada RM4,518 serta RM4,557 satu tan, manakala kontrak Jun 2026 melemah sebanyak RM179 kepada RM4,586 satu tan.

Kontrak Julai 2026 merosot RM181 kepada RM4,593 satu tan, Ogos 2026 menyusut sebanyak RM180 kepada RM4,577 satu tan dan September 2026 berkurangan RM178 kepada RM4,551 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 105,474 lot berbanding 71,360 lot yang dicatatkan pada Selasa, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 260,341 kontrak daripada 254,857 kontrak.

Harga MSM fizikal untuk April Selatan susut sebanyak RM180 kepada RM4,570 satu tan.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan