JENAYAH & MAHKAMAH

AKPS Tahan 11 Warga Thai Seludup Migran, Tiada Dokumen Di Bukit Kayu Hitam

08/04/2026 02:49 PM

BUKIT KAYU HITAM, 8 April (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menahan 11 warga Thailand selepas disyaki terbabit dalam penyeludupan migran dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini, Sabtu lepas.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam SAC Fauzi Mohd Yusof berkata kesemua mereka yang menaiki tiga motorvan berpendaftaran Thailand, dikesan dalam keadaan mencurigakan di laluan Import Bas, Blok D, Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada 11.30 malam.

“Hasil pemeriksaan ke atas kesemua kenderaan tersebut terdapat tujuh warganegara Thailand tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63.

“Empat lagi lelaki warganegara Thailand yang memiliki dokumen ditahan bagi siasatan di bawah Seksyen 26A, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata AKPS merampas tiga motorvan tersebut serta empat ekor kucing yang ditemui bersama tangkapan dan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan lanjut.

Fauzi berkata siasatan awal mendapati kesemua yang ditangkap dipercayai datang dari sebuah pusat kebajikan di wilayah Ko Pha-ngan, Thailand dan dikatakan menuju ke selatan tanah air.

“Kesemua mereka direman dua minggu hingga 18 April dan kini ditempatkan di Depot Imigresen Belantik, Sik bagi siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata AKPS tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk aktiviti penyeludupan migran dan pemerdagangan manusia, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan pintu masuk negara.

Dalam kes berasingan, Fauzi berkata pihaknya menahan seorang warganegara Thailand yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan petrol di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Isnin lepas.

Beliau berkata terdahulu pihak penguat kuasa telah mengesan sebuah kereta dalam keadaan yang mencurigakan yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 50-an di laluan keluar kompleks berkenaan pada 10.45 pagi.

“Hasil pemeriksaan menemui pengubahsuaian pada bahagian belakang serta ruang tempat duduk kereta tersebut yang dipercayai digunakan bagi tujuan menyeludup minyak petrol.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kira-kira 400 liter petrol disembunyikan di dalam kereta itu dengan nilai sekitar RM1,550,” katanya dengan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan