ISKANDAR PUTERI, 7 April (Bernama) -- Juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah bergaya ke pentas final Piala Malaysia selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 4-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam ini.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Xisco Munoz mara dengan agregat 8-1 dan bakal bertemu sama ada Selangor FC atau Kuching City FC yang akan menentukan slot ke final dalam aksi timbal balik di Stadium Negeri, Kuching, 18 April ini.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang dengan benteng pertahanan masing-masing kental mengekang asakan lawan.
JDT hampir membuka jaringan seawal minit keempat menerusi rembatan Ignacio Mendez Navia Fernandez, namun percubaannya tersasar.
Pemain tengah itu sekali lagi menguji kubu KL City FC pada minit ke-12 selepas menerima hantaran Rui Filipe Da Cunha Correia, namun bola sekadar menggegar palang.
KL City FC turut memperoleh peluang pada minit ke-27 menerusi hantaran rendah Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak, namun Madger Antonio Gomes Aju gagal mengawal bola selepas hilang keseimbangan.
JDT berpeluang mendahului apabila dihadiahkan sepakan penalti hasil semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas Rui Filipe dijatuhkan Giancarlo Gallifuoco, namun sepakan Bergson Da Silva hanya sekadar mengenai palang pada minit ke-37.
Bersambung babak kedua, Bergson menebus kehampaan itu apabila membuka jaringan pada minit ke-49 menerusi tandukan hasil hantaran Rui Filipe di dalam kotak penalti.
Dua minit kemudian, JDT menggandakan kelebihan menerusi jaringan Muhammad Syahmi Safari pada minit ke-51.
Bergson sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring untuk gol ketiga pada minit ke-58 selepas menerima hantaran Manuel Federico Hidalgo Gasparini dari luar kotak penalti.
KL City FC memperoleh gol saguhati pada minit ke-67 menerusi Giancarlo Gallifuoco.
JDT melengkapkan kemenangan bergaya apabila Ajdin Mujagic meledak gol keempat pada minit ke-89 menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Ignacio Mendez.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial