Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada Isnin, dengan indeks penanda aras susut 0.86 peratus berikutan kebimbangan terhadap ketegangan yang memuncak di Asia Barat meningkat.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 14.67 mata kepada 1,680.83 daripada 1,695.50 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.
FBM KLCI dibuka 1.18 mata lebih rendah kepada 1,694.32 sebelum bergerak antara 1,677.78 hingga 1,697.88 sepanjang dagangan hari ini.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 660 berbanding 361, manakala 511 kaunter tidak berubah, 1,115 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.86 bilion unit bernilai RM2.72 bilion daripada 3.38 bilion unit bernilai RM2.95 bilion pada Jumaat.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata FBM KLCI susut kepada paras sokongan penting 1,680, menandakan sentimen jangka masa pendek semakin hambar apabila tekanan jualan berterusan.
Beliau berkata penyertaan pasaran kekal suram, dengan pelabur mengambil pendirian defensif dan beralih kepada sektor berkaitan komoditi terpilih serta sektor yang berdaya tahan manakala lingkungan pasaran secara keseluruhan kekal kurang memberangsangkan.
Kekurangan aliran masuk dana asing yang kukuh terus mengekang sebarang peningkatan semula yang teguh, seterusnya menjadikan indeks penanda aras terdedah kepada penurunan lanjut sekiranya keadaan luaran bertambah buruk, katanya.
“Kami mengekalkan pendirian yang berhati-hati dan mengesyorkan pelabur supaya mengurangkan pendedahan serta menyimpan tunai bagi peluang yang lebih baik apabila hala tuju pasaran menjadi lebih jelas.
“Dalam tempoh terdekat, turun naik yang ketara dijangka kekal tinggi, dengan pergerakan banyak dipengaruhi oleh perkembangan konflik Asia Barat dan turun naik harga minyak mentah,” katanya kepada Bernama.
Ketika laporan ini dibuat, minyak mentah Brent susut 1.53 peratus kepada US$107.36 setong.
Sementara itu, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi, IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata pasaran semakin memberi tumpuan kepada risiko gangguan di Selat Hormuz iaitu laluan penting bagi bekalan minyak global.
Beliau berkata sebarang sekatan berpanjangan boleh mencetuskan kejutan tenaga yang berterusan.
Situasi sedemikian berkemungkinan meningkatkan inflasi, memberikan tekanan terhadap imbangan akaun semasa serta menjejaskan prospek pertumbuhan serantau, katanya.
“Dalam keadaan ini, pelabur mengambil pendekatan lebih defensif, manakala kenaikan bagi kaunter berkaitan tenaga hanya menawarkan sokongan yang terhad,” katanya kepada Bernama.
Bagi kalangan saham wajaran tinggi, MISC meningkat 17 sen kepada RM8.42, SD Guthrie kekal pada RM6.20, CIMB susut sembilan sen kepada RM7.40 manakala Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing turun empat sen kepada RM11.22 dan RM14.00 serta Public Bank menguncup dua sen kepada RM4.64.
Bagi senarai paling aktif, VS Industry naik satu sen kepada 19 sen, Velesto meningkat setengah sen kepada 35.5 sen, AirAsia X menokok tiga sen kepada RM1.19, OCR tidak berubah pada 4.5 sen, Top Glove susut 2.5 sen kepada 78.5 sen, dan Supermax kurang 1.5 sen kepada 33.5 sen.
Dalam kalangan saham paling untung, Fraser & Neave melonjak 58 sen kepada RM29.08, Ayer Holdings meningkat 34 sen kepada RM7.35, Apollo Food menambah 18 sen kepada RM5.80, dan United Plantations menokok 16 sen kepada RM34.20.
Bagi saham paling rugi pula, Kuala Lumpur Kepong susut 68 sen kepada RM22.20, Petronas Dagangan turun 54 sen kepada RM20.68, Hong Leong Bank menguncup 48 sen kepada RM21.24, dan IHH Healthcare kurang 37 sen kepada RM8.59.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 susut 103.21 mata kepada 12,147.91, Indeks FBM Emas turun 98.09 mata kepada 12,294.07, Indeks FBM Emas Syariah merosot 105.30 mata kepada 12,164.26, Indeks FBM ACE turun 9.46 mata kepada 4,300.46, dan Indeks FBM Mid 70 berkurangan 132.45 mata kepada 17,008.48.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 182.66 mata kepada 19,667.06, Indeks Perladangan menguncup 37.85 mata kepada 9,117.66, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.80 mata kepada 182.95, dan Indeks Tenaga kurang 6.96 mata kepada 811.56.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.88 bilion unit bernilai RM2.56 bilion daripada 2.37 bilion unit bernilai RM2.78 bilion pada Jumaat minggu lepas.
Jumlah dagangan waran sebanyak 737.32 juta unit bernilai RM67.73 juta berbanding 749.15 juta unit bernilai RM74.13 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 247.03 juta unit bernilai RM94.07 juta daripada 266.53 juta unit bernilai RM89.92 juta pada minggu lepas.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 189.71 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (418.59 juta), pembinaan (158.18 juta), teknologi (179.16 juta), perkhidmatan kewangan (65.86 juta), hartanah (125.79 juta), perladangan (62.79 juta), amanah pelaburan hartanah (27.17 juta), dana tertutup (22,900), tenaga (22.48 juta), penjagaan kesihatan (322.16 juta), telekomunikasi dan media (28.17 juta), pengangkutan dan logistik (26.74 juta), utiliti (55.02 juta), dan amanah perniagaan (60,600).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial