AM

Istiadat Meletak Kerja Mulakan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Agong

06/04/2026 03:12 PM

JOHOR BAHRU, 6 April (Bernama) -- Upacara sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bermula secara rasmi hari ini, dengan berlangsungnya Istiadat Meletak Kerja di Istana Besar, di sini.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Seri Paduka Baginda, istiadat berkenaan disempurnakan dengan menaikkan Bendera Istiadat Kerajaan Johor pada 8.30 pagi.

Upacara dimulakan dengan perarakan membawa masuk bendera ke Tugu Peringatan Istana Besar oleh 10 anggota Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSNJ), diikuti upacara mengikat bendera.

Upacara menaikkan bendera didahului dengan pengisytiharan istiadat oleh Dato' Penghulu Istiadat Datuk Obet Tawil, sambil memegang Cokmar Dato' Penghulu Istiadat, diikuti bacaan doa oleh Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad.

Dalam pengisytiharan itu, beliau memaklumkan bahawa bendera akan berkibar mulai hari ini dan akan diturunkan selepas tamat sambutan hari keputeraan rasmi Seri Paduka Baginda.

Istiadat Meletak Kerja turut diiringi pasukan pancaragam serta pelepasan tujuh das tembakan meriam oleh 41 Bateri RAD (Istiadat).

Upacara istiadat turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Dr Abdul Rahim Ramli, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir, barisan tertinggi kepimpinan kerajaan negeri dan ketua jabatan.

Kali terakhir Istiadat Meletak Kerja diadakan adalah pada November 2023 bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Johor.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan