AM

Peniaga Lelong Ayam 90 Sen Seekor, Ringankan Beban Orang Ramai

06/04/2026 03:05 PM

KUALA TERENGGANU, 6 April (Bernama) -- Seorang peniaga ayam di Merbau Patah dekat sini mengambil inisiatif menjual 2,500 ekor ayam pada harga 90 sen seekor bagi membantu meringankan beban kewangan orang ramai.

Mohd Suhaimi Hassan, 58, berkata kenaikan kos sara hidup menyebabkan beliau terpanggil untuk berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat.

Beliau yang sudah 13 tahun menceburi bidang perniagaan berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila orang ramai beratur seawal 7 pagi untuk membeli ayam pada harga yang sangat murah.

“Ini antara inisiatif kami dalam membantu orang ramai, terutama golongan berpendapatan rendah yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup sejak kebelakangan ini.

“Walaupun tidak dapat menjana keuntungan, saya sangat puas hati kerana dapat menolong dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan. Ini adalah cara kami membalas jasa pelanggan yang menyokong perniagaan selama ini,” katanya ketika ditemui di premis jualannya di Merbau Patah dekat sini hari ini.

Mohd Suhaimi yang memiliki 13 cawangan di seluruh Terengganu berkata kesemua 2,500 ekor ayam berjaya dijual dalam masa hanya setengah jam.

 Melihat sambutan orang ramai, beliau berkata pihaknya bercadang untuk mencari dan melaksanakan inisiatif lain bagi membantu lebih banyak pelanggan pada masa akan datang.

“Pada program julung kali ini, kami tidak meletakkan sebarang had pembelian untuk membolehkan pelanggan yang mempunyai anggota keluarga ramai mendapatkan bekalan.

“Kami sudah menguar-uarkan program jualan murah hari ini di pelbagai platform media sosial beberapa hari lepas. Jadi sambutan yang diterima memang di luar jangkaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan