Artikel kedua daripada laporan tiga bahagian tentang pendermaan organ di negara ini, khususnya melibatkan pesakit mati otak, menyoroti kisah di sebalik prosedur itu serta peranan pakar perubatan dalam memberi kesedaran kepada keluarga tentang persepsi “pesakit masih hidup.”
Pendermaan organ selepas kematian memainkan peranan penting dalam sistem transplan negara kerana pendermaan semasa hidup hanya melibatkan organ-organ tertentu, namun, tegas pakar, tidak ada unsur paksaan atau pujukan dalam pendermaan organ membabitkan pesakit mati otak di mana-mana hospital.
Segala-galanya terserah kepada keluarga ataupun waris, sekalipun pesakit ialah pengikrar derma organ, kata Pakar Anestesia dan Rawatan Rapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Yap Mei Hoon.
Malah, tambah beliau, tidak semua pesakit mati otak layak untuk pendermaan organ kerana ada saringan ketat yang perlu dilakukan oleh hospital, melibatkan pakar daripada pelbagai bidang perubatan.
Melihat penegasan itu sebagai sesuatu yang perlu, Dr Yap berkata wujud tanggapan “kejar organ” kerana mereka percaya pesakit yang mengalami mati otak “masih hidup” dan berpeluang pulih.
“Keutamaan kami ialah menyelamatkan nyawa dan pesakit yang mengalami kecederaan otak serius akan menerima rawatan intervensi semaksimum mungkin di Unit Rawatan Rapi. Namun, ada masanya pesakit tidak dapat diselamatkan dan diisytiharkan sebagai mati otak secara klinikal,” katanya dalam temu bual dengan Bernama, baru-baru ini.
PROSEDUR KLINIKAL DAN UJIAN KEMATIAN OTAK
Mengulas lanjut, Dr Yap berkata proses pengisytiharan kematian otak melibatkan ujian klinikal berlapis yang dilakukan oleh dua pakar bebas yang tidak terbabit langsung dalam proses perolehan dan pemindahan organ.
“Proses ini bukan sekadar prosedur klinikal biasa, tetapi melibatkan langkah-langkah ketat untuk memastikan diagnosis dibuat secara tepat, telus dan bebas daripada sebarang konflik kepentingan.
“Ujian klinikal akan dilakukan dua kali dengan sela masa tertentu untuk memastikan tiada lagi aktiviti fungsi otak sebelum kematian dapat disahkan,” tambahnya lagi.
Kata beliau, antara ujian yang dijalankan ialah pemeriksaan refleks saraf, keupayaan respirasi spontan, serta tindak balas terhadap rangsangan luaran.
Dan, dalam kes tertentu, ujian tambahan seperti pemeriksaan aliran darah serebrum otak menerusi ujian radiologi atau electroencephalogram turut digunakan untuk mengesahkan bahawa tiada lagi peredaran darah atau aktiviti elektrik di otak, jelasnya
“Ujian kali kedua cukup penting dalam proses ini, kerana, hanya selepas ujian kedua disahkan, barulah masa kematian dicatatkan secara rasmi oleh pihak hospital. Langkah ini juga penting bagi memastikan diagnosis benar-benar tepat demi mengelakkan sebarang kekeliruan.
“Selain itu, setiap langkah dalam proses pengesahan kematian otak turut direkodkan dengan teliti, termasuk masa ujian dijalankan dan keputusan yang diperoleh. Dokumentasi ini penting bagi memastikan ketelusan serta membina keyakinan masyarakat terhadap sistem pendermaan organ negara,” tegasnya.
Setelah kematian otak disahkan, pasukan perubatan akan melengkapkan penilaian menyeluruh terhadap organ yang berpotensi didermakan bagi memastikan organ selamat dan sesuai untuk penerima.
Penilaian ini turut merangkumi pemeriksaan darah, imbasan radiologi, serta ujian fungsi organ seperti hati, buah pinggang, jantung dan paru-paru. Proses saringan ini penting bagi memastikan organ yang dipindahkan berada dalam keadaan optimum.
“Walaupun organ masih berfungsi, kami perlu memastikan semua kriteria klinikal dipenuhi sebelum prosedur boleh diteruskan. Keselamatan pihak penerima perlu terus menjadi keutamaan,” jelas beliau.
LIBATKAN PAKAR PELBAGAI BIDANG
Jenis organ yang akan didermakan juga bakal menentukan siapa ahli pasukan pembedahan yang akan terlibat. Sebagai contoh, pembedahan jantung oleh pakar bedah jantung, pembedahan tulang oleh pakar bedah tulang dan sebagainya.
“Selain itu, koordinasi logistik dan mobiliti juga sangat kritikal memandangkan setiap organ mempunyai tempoh masa tertentu sebelum ia tidak lagi sesuai untuk dipindahkan. Oleh itu, perancangan rapi diperlukan dengan pihak-pihak terbabit bagi memastikan organ berjaya ditransplan kepada penerima dalam kondisi terbaik,” katanya.
Dr Yap berkata dalam tempoh 2023 hingga 2026, PPUM menjalankan sembilan kes pendermaan organ melibatkan pesakit mati otak.
Sementara itu, menjelaskan pendermaan organ sebagai sebahagian daripada pendekatan rawatan hujung nyawa atau end-of-life care, Dr Yap berkata komunikasi yang jelas dengan keluarga atau waris memainkan peranan penting dalam pendermaan organ.
“Sehubungan dengan itu, kita tidak guna istilah ‘organ harvesting’ kerana boleh menimbulkan salah faham, seolah-olah organ diambil secara ‘paksa’ dan tidak beretika.
“Kami lebih cenderung menggunakan terma organ procurement atau perolehan organ... ini lebih tepat untuk kefahaman orang ramai. Dalam amalan perubatan moden, proses ini adalah suatu bentuk pendermaan organ yang dilakukan dengan persetujuan keluarga serta mengikut prosedur klinikal yang ketat,” tegasnya.
PENDEKATAN DAN PERBINCANGAN BERPERINGKAT
Bukan sahaja pasukan perubatan, peranan unit Organ Donation and Transplantation Management (ODTM) seperti yang diwujudkan di PPUM tidak kurang pentingnya dalam memastikan komunikasi pasukan perubatan dengan keluarga penderma dijalankan secara berhemah, sistematik dan berfokus pada kesejahteraan emosi mereka.
Ketua Jururawat Farahliza Ismail yang juga seorang daripada penyelaras ODTM menjelaskan, unit tersebut turut berfungsi dalam memastikan keseluruhan proses pendermaan organ berjalan lancar dan telus, selaras dengan prosedur klinikal yang telah ditetapkan.
“Biasanya, sebaik sahaja kami memaklumkan bahawa pesakit telahpun meninggal dunia (disebabkan mati otak), ahli keluarga biasanya berada dalam keadaan sangat terkejut, sedih dan kadangkala keliru. Oleh itu, pendekatan terbaik ialah kami tidak akan terus bercakap mengenai topik pendermaan organ.
“Ini kerana, kami ingin memberikan mereka sedikit masa untuk bertenang dan memahami keadaan pesakit sebelum sebarang perbincangan lanjut dilakukan,” jelasnya.
Pendekatan ini membolehkan keluarga menerima hakikat kehilangan secara berperingkat sebelum membuat keputusan yang sering kali sukar dalam keadaan emosi yang berat.
Selepas keadaan pesakit difahami sepenuhnya, barulah topik pendermaan organ diperkenalkan secara berhati-hati dengan setiap langkah diterangkan secara jelas dan bersifat pilihan, katanya.
Menurut beliau, di peringkat itu komunikasi yang teliti dan empati amat penting kerana ramai keluarga tidak pernah terdedah kepada konsep pendermaan organ sebelum ini.
Justeru, pendekatan berstruktur sebegini akan dapat membantu mereka memahami maklumat berkaitan prosedur perubatan, jenis organ yang berpotensi didermakan serta bagaimana pendermaan tersebut boleh memberi peluang baharu kepada pesakit lain yang sedang menunggu transplantasi.
“Apabila keluarga diberi masa dan maklumat yang jelas, mereka dapat membuat keputusan dengan lebih tenang serta memahami sepenuhnya implikasi daripada pilihan yang dibuat,” katanya.
KOORDINASI PEMBEDAHAN DAN MARUAH JENAZAH
Sekiranya keluarga bersetuju untuk menderma, Farahliza berkata terdapat beberapa langkah segera akan diambil bagi memastikan organ yang masih sihat dapat dipindahkan dengan selamat. Pesakit akan disokong sementara dengan mesin bantuan hayat bagi mengekalkan fungsi organ, sementara koordinasi pembedahan dilakukan melibatkan beberapa pasukan pakar mengikut jenis organ yang terlibat.
“Dalam sesetengah keadaan, beberapa hospital lain akan dimaklumkan untuk terlibat sama dalam proses perolehan dan transplan organ ini,” katanya, menambah keadaan itu biasanya melibatkan penerima organ dari hospital berkenaan.
Pada masa sama, beliau menegaskan sepanjang proses pendermaan dan selepas itu, maruah jasad individu penderma sentiasa diutamakan.
Kebiasaannya, selepas pembedahan selesai, luka pembedahan akan dipastikan dijahit dengan kemas oleh pakar bedah terlibat, selain jenazah turut dibersihkan sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian mengikut kepercayaan masing-masing.
“Setiap bahagian pembedahan ditutup dengan teliti agar tidak kelihatan sebarang kesan yang boleh menimbulkan rasa tidak selesa atau kebimbangan. Sebagai contoh, benang dijahit secara dalaman dan bahagian luka ditutup supaya tubuh penderma kelihatan utuh dan hampir sempurna agar upacara pengebumian berlaku tanpa sebarang gangguan visual,” kongsi beliau.
Pasukan ODTM turut memastikan keperluan pengebumian atau adat keluarga dihormati sepenuhnya. Pendekatan ini membolehkan keluarga berasa yakin bahawa pendermaan organ dilakukan secara profesional tanpa menjejaskan penghormatan terakhir dan memberi ketenangan emosi bahawa orang tersayang tetap dihormati sepenuhnya sepanjang proses.
Selain mengurus proses pendermaan organ di hospital, unit ODTM juga memainkan peranan penting dalam usaha pendidikan dan advokasi kepada masyarakat mengenai kepentingan pendermaan organ.
Berhubung pemilihan penerima organ atau tisu, Farahliza menjelaskan prosedur itu tidak diputuskan oleh hospital berkenaan semata-mata, sebaliknya diselaraskan menerusi sistem kebangsaan yang ditadbir oleh Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC), dengan pemadanan dilakukan secara telus berdasarkan kesesuaian klinikal, senarai menunggu organ serta faktor-faktor perubatan yang lain.
Tambahnya, sistem sebegini diwujudkan demi memastikan setiap pesakit yang berada dalam senarai menunggu mempunyai peluang yang adil untuk menerima organ yang sesuai.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial