KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Marriott Business Council Malaysia (MBC) mencatat kejayaan bermakna dalam perkongsian jangka panjangnya dengan Kechara Soup Kitchen (KSK) dengan penyerahan trak bantuan khusus untuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan organisasi itu terhadap komuniti rentan di seluruh negara.
MBC dalam kenyataan memaklumkan trak itu akan menyokong keperluan operasi, membantu meningkatkan kecekapan pengagihan makanan dan usaha bantuan oleh KSK.
Selain penyerahan trak, MBC juga menyumbang barangan makanan asas kepada KSK termasuk makanan dalam tin, minyak masak, beras, Milo dan Quaker Oats yang akan menyokong secara langsung usaha organisasi itu menyediakan makanan kepada komuniti gelandangan dan yang kurang mendapat perhatian di seluruh Malaysia.
Naib Presiden Pasaran Malaysia Marriott International George Varughese berkata sumbangan itu mencerminkan komitmen berterusan Marriott untuk mewujudkan impak komuniti yang positif melalui Serve 360: Doing Good in Every Direction.
Beliau berkata perkongsian dengan KSK yang bermula pada 2011 telah berkembang menjadi kolaborasi yang bermakna dan berkekalan sejak 15 tahun lepas.
“Apa yang bermula sebagai komitmen bersama-sama untuk berkhidmat kepada golongan yang kurang bernasib baik berkembang menjadi hubungan jangka panjang yang dibina atas kepercayaan, belas kasihan dan bermatlamat.
“Perjalanan ini mencerminkan kepercayaan kami bahawa hospitaliti melangkaui dinding hotel. Ia tentang mengambil berat terhadap orang ramai dan mencipta perubahan yang bermakna dalam komuniti tempat kami tinggal dan bekerja,” katanya dalam kenyataan sama.
Sementara itu, Pengerusi MBC Volker Burth berkata hasil daripada kempen Road to Give 2025 membolehkan pembelian trak khas itu.
“Lebih daripada sebuah kenderaan, sumbangan ini akan membantu mengukuhkan usaha bantuan harian KSK dan meluaskan sokongan kepada komuniti yang memerlukan. Ia juga mencerminkan apa yang boleh dicapai apabila hotel kami bersatu dengan tujuan yang sama,” katanya.
KSK telah bekerjasama rapat dengan hotel Marriott di seluruh Malaysia sejak sekian lama untuk menyokong komuniti yang kurang bernasib baik melalui inisiatif pengumpulan dana, penglibatan sukarelawan dan program bantuan.
Mereka yang mengambil bahagian termasuk Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre; Four Points by Sheraton Kuala Lumpur, City Centre; Courtyard by Marriott Setia Alam; Penang Marriott Hotel dan Marriott Executive Apartments Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial