TEHRAN, 3 April (Bernama-Anadolu) -- Presiden Iran Masoud Pezeshkian menggesa organisasi kesihatan antarabangsa dan doktor di seluruh dunia untuk bertindak balas terhadap apa yang disifatkannya sebagai "jenayah terhadap kemanusiaan" susulan serangan ke atas fasiliti perubatan di Iran.
“Apakah mesej yang ingin disampaikan dengan menyerang hospital, syarikat farmaseutikal dan Institut Pasteur (Iran) sebagai pusat penyelidikan perubatan di Iran?” Pezeshkian berkata di platform media sosial X, merujuk pada serangan yang dilaporkan ke atas Institut Pasteur Iran di Tehran.
“Sebagai pakar perubatan, saya menggesa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Palang Merah, Doctors Without Borders dan pakar perubatan di seluruh dunia untuk bertindak terhadap jenayah ke atas kemanusiaan ini,” katanya.
Pihak berkuasa Iran sebelum ini berkata serangan udara telah memusnahkan Institut Pasteur, sebuah pusat penyelidikan perubatan utama, memberi amaran bahawa serangan itu menimbulkan risiko kepada kesihatan awam dan kerjasama perubatan antarabangsa.
Dalam kenyataan berasingan, jurucakap Kementerian Luar Esmaeil Baghaei mengutuk serangan itu sebagai "menyayat hati, kejam, keji dan sangat keterlaluan."
"Penceroboh AS-Israel telah menyerang Institut Pasteur Iran iaitu sebuah pusat penyelidikan dan kesihatan awam tertua dan paling berprestij di Iran dan seluruh Timur Tengah, yang diasaskan pada 1920 melalui perjanjian antara Institut Pasteur Paris dan kerajaan Iran," kata Baghaei pada X.
Ketegangan serantau kian memuncak sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb.
Iran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial