KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Golongan belia Malaysia sedang mentakrif semula bagaimana pekerjaan dan perniagaan boleh dimanfaatkan dalam era digital melalui penciptaan kandungan, penstriman langsung, pemasaran afiliasi dan keusahawanan digital di TikTok serta TikTok Shop.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata golongan muda di Malaysia bukan sahaja menggunakan kandungan digital tetapi mereka juga menciptanya, berinovasi melalui kandungan tersebut dan membina perniagaan di persekitarannya.
"Kreativiti, keyakinan dan kebolehsuaian mereka adalah kekuatan penting apabila Malaysia bersaing dalam ekonomi global yang berkembang pesat," katanya pada pelancaran Laporan Impak Sosioekonomi TikTok 2025 di sini baru-baru ini.
Akmal Nasrullah berkata, laporan yang disediakan dengan kerjasama firma perundingan Kearney itu memberikan bukti yang jelas bahawa pendigitalan bukan lagi pilihan sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada realiti seharian kita.
Beliau berkata kajian itu menganggarkan ekosistem TikTok akan menyumbang RM20 bilion dalam nilai tambah kasar (GVA) kepada ekonomi Malaysia pada 2025 selain menyokong 147,000 pekerjaan merangkumi perniagaan, pencipta kandungan dan industri berkaitan.
"Ia mengurangkan halangan untuk memasuki pasaran, membuka akses kepada pasaran yang lebih besar selain membolehkan rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat untuk menyertai serta meraih manfaat daripada ekonomi moden," katanya.
Akmal Nasrullah berkata ini selaras sepenuhnya dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang memberi penekanan kukuh terhadap mobiliti sosial, pembangunan bakat, pendigitalan, pengukuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta perubahan ekonomi yang bertumpu pada masa depan.
"Ini juga merangkumi peluang yang berkaitan dengan ekonomi digital, ekonomi hijau, ekonomi biru, ekonomi pekeliling dan ekonomi perak untuk mempelbagaikan sumber pendapatan golongan muda," katanya.
Akmal Nasrullah berkata laporan itu turut mengetengahkan bagaimana pencipta kandungan TikTok dan TikTok Shop mengubah bakat dan minat menjadi profesion, membina jenama dan aliran pendapatan yang mampan.
Dalam pada itu, pembekal, penyedia perkhidmatan dan rakan kongsi ekosistem berkembang seiring dengan pengembangan digital ini.
Pada masa yang sama, beliau berkata perniagaan yang telah lama beroperasi, usahawan luar bandar dan perusahaan berasaskan komuniti juga sedang memanfaatkan platform digital untuk meningkatkan daya saing selain mengakses peluang baharu.
"Penglibatan terangkum ini tepat seperti yang kita mahu perkukuh di bawah RMK-13," katanya.
Akmal Nasrullah berkata di bawah RMK-13, Malaysia menyasarkan untuk mempercepat sektor-sektor bernilai tinggi dan berpotensi tinggi, mendalami penerimaan digital PMKS dan membekalkan rakyat dengan kemahiran yang bersedia untuk masa depan.
Beliau berkata negara berada di satu titik peralihan penting dalam perjalanan pembangunan negara.
"Masalah masa depan kita akan dibentuk oleh sejauh mana kita menerima inovasi, memperkukuh keupayaan digital kita dan membuka potensi penuh rakyat kita.
"Apabila rakyat Malaysia mencipta, Malaysia akan berkembang," tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial