DUNIA

Rusia Mahu Tingkatkan Hubungan Ekonomi, Pendidikan Dengan Malaysia - Duta

02/04/2026 09:29 PM

Oleh Christine Lim

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Rusia berminat memperluas kerjasama dengan Malaysia dalam bidang ekonomi, pendidikan, sains, tenaga hijau dan kejuruteraan, kata Duta Besar Rusia ke Malaysia Naiyl M. Latypov.

Beliau berkata berdasarkan hampir 60 tahun hubungan diplomatik yang terjalin, terdapat potensi besar untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan di Malaysia, khususnya dalam industri makanan.

“Rusia merupakan antara pengeluar terbesar pelbagai jenis produk pertanian,” katanya kepada Bernama dalam temu bual selepas majlis penyampaian anugerah kepada peserta Malaysia dalam Pertandingan Iklan Antirasuah Sosial Belia Antarabangsa 2025 "Bersama Menentang Rasuah."

Chia Xuan Tay, 18, pelajar Kolej Matrikulasi Johor, menduduki tempat ketiga dalam kategori Poster Terbaik bagi kumpulan umur 16 hingga 20 tahun dalam pertandingan tahunan anjuran Pejabat Pendakwa Raya Rusia, yang tahun lalu menerima 30,657 penyertaan dari 45 negara.

Sementara itu, Latypov berkata Rusia mengalu-alukan eksport buah-buahan tropika dari Malaysia seperti mangga, manggis dan durian.

“Durian boleh dipromosikan di Rusia sebagai raja buah,” katanya.

Beliau menambah bahawa kontena pertama daging ayam belanda dari Rusia yang tiba di Malaysia sebelum Krismas tahun lepas habis dijual dalam tempoh singkat.

“Kini kami sedang meningkatkan jumlah bekalan daging ayam belanda dari Rusia, sama ada dalam bentuk mentah atau diproses,” katanya.

Latypov berkata perdagangan dua hala, yang kini sekitar US$3 bilion setahun, masih mempunyai ruang untuk dipertingkatkan.

Beliau berkata perusahaan Rusia boleh ditubuhkan di Malaysia menggunakan bahan mentah dari Rusia, termasuk produk pertanian, bagi memenuhi keperluan pasaran domestik serta ASEAN.

“Kami boleh menghasilkan makanan bukan sahaja untuk pasaran Malaysia tetapi untuk seluruh ASEAN,” katanya, sambil menambah bahawa koridor ekonomi Malaysia berpotensi menjadi hab industri halal di rantau ini.

Beliau berkata beberapa syarikat Rusia telah melabur di Malaysia, termasuk dalam sektor teknologi maklumat (IT), serta Orgkhim yang mengendalikan kemudahan pengeluaran minyak proses hijau (bukan karsinogenik) bagi tayar dan getah di Johor Bahru.

Mengenai pendidikan, Latypov berkata sebanyak 39 memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani tahun lepas antara universiti Rusia dan Malaysia.

“Saya percaya masih banyak perkara yang boleh dilaksanakan pada masa hadapan kerana kami sangat berminat dengan kerjasama dalam bidang ini. Kami bersedia berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam pendidikan,” katanya.

Beliau berkata kira-kira 700 rakyat Malaysia kini melanjutkan pengajian di Rusia, terutamanya dalam bidang perubatan dan kejuruteraan, manakala sekitar 50 rakyat Rusia belajar di Malaysia.

Dalam sektor pelancongan, Latypov menyatakan harapan supaya penerbangan terus antara Malaysia dan Moscow dapat diwujudkan.

“Kami kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia bagi mewujudkan penerbangan terus antara Malaysia dan Moscow,” katanya, sambil menambah kira-kira 130,000 pelancong Rusia melawat Malaysia tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan