FOKUS BERNAMA

Perspektif Wanita Diperlukan Demi Usaha Pemuliharaan Lebik Baik - Pakar

02/04/2026 07:11 PM
Daripada Nina Muslim

Daripada 21 Orang Asli yang ditahan kerana menceroboh ladang kelapa sawit berhampiran Kampung Jemeri, Kuala Rompin, Pahang pada Februari lalu, 17 orang adalah wanita.

Mereka membantah pembukaan ladang dan memetik kes Sagong Tasi pada 2002 apabila mahkamah memperakui hak Orang Asli ke atas tanah adat walaupun tanpa geran sah, kumpulan Orang Asli berkenaan menegaskan mereka telah tinggal dan mengerjakan tanah di kawasan tersebut sejak sekian lama sebelum kedatangan syarikat yang diberikan hak membangunkan tanah tersebut.

Berusia  26 hingga 60 tahun, jumlah sebegitu ramai wanita yang terlibat dalam kes itu mencetuskan kehairanan segelintir pihak, berdasarkan reaksi di media sosial. Namun bagi wanita Orang Asli, perkara itu bukan sesuatu yang luar biasa. Walaupun hampir semua Orang Asli menganggap tanah adat atau tanah warisan amat penting, bagi golongan wanitanya tanah tersebut mempunyai makna yang lebih istimewa.

“Bila berlaku pembalakan, hutan musnah, semuanya musnah. Kesannya pada siapa? Kaum perempuan. Pembalakan memusnahkan ladang mereka, keruhkan air sungai dan sebagainya. Jadi, bagaimana kaum perempuan ini nak cari air yang bersih untuk keluarga, untuk anak-anak dan sebagainya?” soal Tijah Yok Chopil, wanita Semai yang juga bekas Pengerusi dan Naib Presiden Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM).

“Sejak sekian lama, tanah dilihat amat penting kerana ia ibarat pasar raya tempat mereka mendapatkan makanan. Tanah juga seperti farmasi untuk memperoleh ubat-ubatan atau kedai perkakasan bagi mendapatkan bahan binaan. (Namun) itu hanyalah sebahagian kecil daripada makna sebenar tanah buat Orang Asli,” kata Colin Nicholas, penyelaras Centre for Orang Asli Concerns (COAC).

Beliau menyifatkan tanah adat sebagai “muzium identiti” Orang Asli, iaitu gambaran fizikal sejarah, budaya dan jati diri sesebuah komuniti. Justeru, beliau dan juga pakar lain menegaskan dasar yang mewajibkan penglibatan wanita dalam kepimpinan suku kaum serta perbincangan komuniti mengenai pengurusan tanah adalah amat penting.

 

TINGGALAN KOLONIAL

Sehinggalah baru-baru ini, wanita Orang Asli sebelumnya  tidak terlibat secara aktif ataupun bersuara dalam isu berkaitan tanah adat dan warisan mereka. Namun, pada masa sama, unsur patriarki secara relatifnya tidak wujud dalam budaya mereka pada zaman dahulu.

Sebelum kedatangan British, amnya komuniti Orang Asli, khususnya kelompok pemburu-pengumpul, menjalani kehidupan mereka berasaskan garis egalitarian atau prinsip kesetaraan. Laporan Kirk Endicott dan Karen Endicott bertajuk “The Headman Was a Woman: The Gender Egalitarian Batek of Malaysia”  yang diterbitkan oleh COAC, menghuraikan konsep jantina, peranan dan hubungan dalam kalangan masyarakat Batek (satu suku kaum daripada kumpulan Orang Asli Negrito) yang sangat tinggi aspek egalitariannya, di Semenanjung Malaysia.

“Tidak wujud konsep ketua kampung lelaki atau wanita (dalam sesetengah suku seperti Semai); mereka dipimpin berasaskan hubungan kekeluargaan, meliputi keluarga, suku dan sebagainya. Jika seorang wanita menjadi matriark, maka dialah yang memimpin,” kata Nicholas.

Tambahnya, apabila era kolonialisme tiba di Semenanjung Malaysia, pihak British tidak tahu cara berurusan dengan Orang Asli.

“Situasinya seolah-olah makhluk asing datang ke bumi. Mereka tidak dapat berurusan dengan setiap individu, lalu meminta untuk dibawa kepada ketua. Namun, tidak ada ketua. Maka British memperkenalkan sistem (tok) batin dan sistem penghulu (seperti dalam kalangan orang Melayu) kepada Orang Asli,” jelasnya.

Pembentukan sistem ketua kampung ini akhirnya mengukuhkan dominasi lelaki dalam kepimpinan Orang Asli, selaras dengan sistem pewarisan British pada waktu berkenaan, iaitu jawatan itu menjadi warisan keluarga dan lazimnya diserahkan kepada anak lelaki sulung dan seterusnya.

“Satu lagi kesan tinggalan kolonial ialah wanita Orang Asli tidak diiktiraf sebagai pemimpin oleh kerajaan: yang dilantik sebagai ketua kampung hanya lelaki, bukan wanita,” demikian menurut kertas penyelidikan tentang kesan penjajahan ke atas budaya Orang Asli oleh A. Baer daripada University of Oregon, Amerika Syarikat pada 2012. 

Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, kerajaan neneruskan pelaksanaan sistem tersebut namun membenarkan pengundian dijalankan bagi mendapatkan persetujuan komuniti dalam pelantikan tok batin baharu.

Garis Panduan Tatacara Pelantikan dan Penamatan Perkhidmatan Jawatan Batin/Penghulu Orang Asli 2011 di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli menetapkan hanya keturunan dan calon lelaki sahaja layak. Wanita diketepikan.

“Mereka hanya fokus pada kaum lelaki. Jadi, ini membunuh peranan dan penglibatan kaum wanita dalam kalangan masyarakat Orang Asli,” kata Tijah.


Menurut pakar Orang Asli dan akademik, perspektif wanita Orang Asli penting untuk menjaga khazanah semulajadi. Gambar hiasan. --fotoBERNAMA (2026) HAKCIPTA TERPELIHARA

 

MENGAPA WANITA

Walaupun dipengaruhi sudut pandang lelaki semasa era penjajahan yang kemudiannya terus diperkukuh oleh kerajaan Malaysia, sikap terhadap jantina dalam kebanyakan suku Orang Asli masih mengekalkan sebahagian besar asas kesaksamaan.

Pakar kajian bahasa Rafidah Abd Karim menjalankan penyelidikan mengenai feminisme dan pemerkasaan wanita dalam kalangan empat suku Orang Asli di Semenanjung Malaysia. Beliau memberitahu Bernama kajiannya mendapati wujud pembahagian peranan jantina, namun tahap pematuhan pada peranan tersebut berbeza antara komuniti.

Menurutnya, lelaki berperanan sebagai pencari nafkah manakala wanita menjaga rumah dan anak-anak. Namun, ini tidak bermakna peranan wanita dianggap lebih rendah.

“Walaupun lelaki memegang peranan kepimpinan, wanita mempunyai penglibatan yang kuat dalam komuniti,” katanya.

Kajian tersebut juga mendapati wanita yang ditemu bual mempunyai pandangan egalitarian dan feminis, seperti menyokong kadar gaji yang sama untuk lelaki dan wanita dalam pekerjaan yang sama serta akses pendidikan setara antara wanita dan lelaki.

Justeru, isu sebenar lebih kepada akses, iaitu sama ada wanita diberi ruang untuk bersuara mengenai perkara penting, bukannya soal kesediaan. Tijah dan wanita Orang Asli lain turut menyokong dapatan ini.

“Perempuan macam AJK, setiausaha, bendahari. Tapi bila kami pergi ke peringkat komuniti, kita lihat pendapat dan idea datang daripada wanita. Namun, mereka tidak diberi peluang untuk membentangkan idea mereka,” kata Diana Tan Beng Hui, seorang daripada penyelaras dalam kolektif Apa Kata Wanita Orang Asli.

Pakar turut berpandangan penglibatan wanita dalam usaha pemuliharaan akan memberi manfaat kepada semua, khususnya ketika dunia semakin memberi tumpuan kepada penggunaan pengetahuan masyarakat peribumi bagi menangani perubahan iklim dan mengurangkan penebangan hutan.

Nicholas pula berkata berdasarkan pengalamannya, wanita cenderung melihat gambaran besar seperti manfaat kepada generasi akan datang, berbanding dengan lelaki yang lebih tertumpu pada penggunaan sumber untuk keperluan segera komuniti.

 

USAHA PEMULIHARAAN TERANGKUM

Isu Orang Asli kembali mendapat perhatian apabila dunia kini mengiktiraf kepentingan pengetahuan peribumi dalam usaha pemuliharaan serta menangani perubahan iklim. Pakar berpendapat penglibatan wanita yang lazimnya menjadi penjaga budaya dan warisan, mampu memperkukuh usaha tersebut.

Walaupun penting bagi pihak berkuasa negeri mewajibkan perwakilan wanita dalam isu berkaitan Orang Asli, ahli sosiologi Kamal Solhaimi menegaskan organisasi masyarakat sivil juga perlu melaksanakan dasar sama.

“Kita sebenarnya memperkenalkan patriarki bukan sahaja melalui peluang, dan ironinya perkara seperti pemuliharaan juga boleh mewujudkan serta mengukuhkan jurang ini,” katanya kepada Bernama menerusi Google Meet.

Beliau berkata badan bukan kerajaan dan universiti yang lazimnya membayar khidmat Orang Asli sebagai pemandu arah dan jurubahasa, perlu menggubal dasar bagi memastikan kedua-dua jantina mendapat akses sama rata kepada pendapatan.

Tambahnya, dasar tersebut tidak semestinya memerlukan wanita mengambil peranan maskulin seperti memburu - kecuali jika mereka mahu berbuat demikian - tetapi bagi membuka ruang kepada peranan yang bersifat pemeliharaan untuk wanita ataupun lelaki yang berminat, termasuk mendidik dan menyampaikan pengetahuan warisan kepada generasi seterusnya.

Berdasarkan pengalamannya dengan komuniti Temiar yang lebih didominasi lelaki, Nicholas bersetuju masyarakat sivil perlu memainkan peranan dalam memastikan perwakilan yang seimbang.

“Sering kali dalam mesyuarat, lelaki sahaja yang hadir. Jadi kami terpaksa menetapkan perwakilan 50-50. Selepas itu barulah wanita mula tampil. Namun, dalam mesyuarat dalaman di peringkat kampung, lelaki masih mendominasi perbincangan dan membuat keputusan,” katanya.

Bagi Tijah pula, kehadiran perwakilan wanita Orang Asli dalam perbincangan yang memberi kesan kepada komuniti tidak lagi boleh ditangguh. Sebagai individu yang memperjuangkan isu itu sejak usianya 17 tahun, perkara tersebut amat dekat di hatinya.

“Kesan jangka panjang adalah ke atas perempuan, tapi semasa masyarakat buat keputusan mereka tidak memikirkan kesan yang dihadapi oleh perempuan,” katanya.

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan