KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa profesion undang-undang perlu melalui transformasi mendalam dari segi nilai, kemahiran dan pengetahuan untuk kekal relevan di tengah-tengah era kecerdasan buatan (AI) serta perubahan global yang pesat.
Dalam ucaptama beliau di Persidangan Persatuan Pendidikan Undang-Undang Komanwel (CLEA) yang julung kali diadakan, Anwar berkata masa depan profesion peguam mesti melangkaui penguasaan undang-undang bertulis dan keputusan terdahulu kerana tugas-tugas itu kini semakin diambil alih oleh sistem AI yang canggih.
“Menjelang 2030, peguam tidak lagi sekadar menjadi ‘enjin carian dalam kes saman’, kerana dunia menuntut lebih daripada itu. Oleh itu, kemahiran dan nilai yang kita bentuk hari ini mestilah yang sukar digantikan dan mampu melengkapi keupayaan AI pada masa ini serta masa depan.
“Pelajar undang-undang perlu dilatih menjadi penapis beretika di tengah lautan data yang luas ini. Peguam pada tahun 2030 dan selepas itu bukan sahaja mesti cekap dalam teknologi dan AI tetapi mampu juga mentafsir data dengan bijak serta berpegang pada budaya menggunakan undang-undang untuk manfaat rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan persidangan bertemakan 'Lawyering 2030 - Skills, Strategy & Legal Education' di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said; Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Penaung CLEA Tan Sri Nallini Pathmanathan; Pro-Canselor UM Tan Sri Zainun Ali; serta Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman.
Berita Lanjut Menyusul
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial