AM

Hidupan Laut Di Taman Laut Labuan Pacu Prospek Pelancongan

02/04/2026 03:26 PM

LABUAN, 1 April (Bernama) -- Kepelbagaian hidupan laut di perairan sekitar pulau di Taman Laut Labuan menunjukkan peningkatan ketara, menurut Kelab Selam Labuan.

Pengerusinya, Teoh Ming Woei berkata perkembangan memberangsangkan itu dapat dilihat semasa aktiviti selaman kelab itu di sekitar Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil.

Beliau berkata baru-baru ini,  penyelam menemukan lebih banyak spesies laut, termasuk penyu laut dan nudibrankia, selain ekosistem terumbu karang yang subur yang kini membantu kehidupan pelbagai organisma laut.

“Air yang jernih dan hidupan laut semakin bertambah, dan kami dapat melihat banyak penyu seperti penyu sisik, nudibrankia, serta spesies ikan berwarna-warni. Ini petanda positif bahawa ekosistem laut sedang melalui proses pemulihan yang baik,” katanya kepada Bernama hari ini.

Teoh berkata perkembangan itu membantu memperkukuh masa depan sektor pelancongan selam di Labuan, kerana kepelbagaian hidupan laut yang lebih kaya dapat meningkatkan pengalaman menyelam secara keseluruhan dan menarik lebih ramai pengunjung ke pulau ini.

Beliau juga menggesa pihak berkuasa berkaitan melaksanakan langkah pemuliharaan dan perlindungan yang ketat bagi memastikan ekosistem laut terus terpelihara, khususnya di Taman Laut Labuan.

“Pemantauan dan perlindungan berterusan adalah penting bagi memastikan habitat ini kekal tidak terganggu dan lestari untuk generasi akan datang,” katanya. 

Taman Laut Labuan, yang merangkumi Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil, terkenal dengan kekayaan kepelbagaian hidupan laut, dan menjadi destinasi popular untuk aktiviti menyelam rekreasi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan