DUNIA

Gempa Bumi 7.6 Skala Richter Landa Perairan Luar Sulawesi Utara, Tsunami Dikesan

02/04/2026 11:31 AM

JAKARTA, 2 April (Bernama) -- Gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter melanda perairan luar Bitung, Sulawesi Utara awal Khamis, dengan ombak tsunami dikesan di beberapa kawasan di timur Indonesia.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), gempa berlaku pada 6.48 pagi waktu tempatan dengan pusat gempa terletak pada 1.25 darjah utara dan 126.27 darjah timur, pada kedalaman 62 kilometer.

BMKG melaporkan ombak tsunami setinggi sehingga 0.3 meter di Halmahera Barat dan 0.2 meter di Bitung, berdasarkan pemerhatian paras laut menerusi laman sesawangnya.

Agensi itu turut mengeluarkan amaran tsunami bagi beberapa kawasan, dengan meletakkan sebahagian wilayah Maluku Utara dan Sulawesi Utara, termasuk Ternate, Halmahera dan Bitung di bawah status “siaga”, manakala kawasan lain diletakkan di bawah status “waspada”.

BMKG menasihati pihak berkuasa tempatan di kawasan berstatus siaga supaya membuat persediaan untuk pemindahan, manakala kawasan berstatus waspada diminta memastikan orang ramai menjauhi kawasan pantai dan tebing sungai.

Sementara itu, gegaran kuat yang berlarutan lebih satu minit dirasai di Manado, menyebabkan penduduk bergegas keluar dari kediaman masing-masing bagi mengelakkan sebarang kemungkinan bahaya, menurut laporan Agensi Berita ANTARA.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan