Oleh Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 1 April (Bernama) -- Microsoft Corporation pada Rabu mengumumkan pelaburan sebanyak US$5.5 bilion (US$1 = RM4.02) dalam infrastruktur awan dan kecerdasan buatan (AI) di Singapura sehingga 2029.
Naib Pengerusi dan Presiden Microsoft Brad Smith berkata gergasi teknologi itu berada di landasan yang betul untuk memacu masa depan AI Singapura sejajar dengan pengembangan program Microsoft Elevate.
"Pelaburan berterusan kami dalam infrastruktur awan dan AI mencerminkan keyakinan jangka panjang Microsoft terhadap Singapura sebagai peneraju digital global.
“Secara bersama, kami menumpukan usaha untuk membantu individu dan organisasi menggunakan AI dengan memperkukuh kemahiran, meningkatkan keselamatan siber dan daya tahan, serta memajukan tadbir urus yang dipercayai supaya teknologi memberi manfaat sebenar kepada rakyat Singapura,” katanya dalam ucaptama di acara Asia Tech x Inspire.
Sebagai sebahagian daripada komitmen Microsoft, setiap pelajar di institusi pendidikan tinggi Singapura kini mempunyai akses percuma kepada Microsoft 365 Premium dengan Copilot serta rangkaian alat produktiviti syarikat itu.
Lebih 200,000 pelajar yang mendaftar di universiti dan institusi latihan vokasional akan mendapat akses kepada alat produktiviti Microsoft 365.
Selain itu, Microsoft turut memperluas program Microsoft Elevate for Educators ke Singapura untuk membina keyakinan AI di bilik darjah dan memperkenalkan Microsoft Elevate for Changemakers bagi memperkukuh kepimpinan organisasi bukan keuntungan dengan AI yang bertanggungjawab.
“Microsoft akan terus memperkukuh kemahiran AI merentasi sektor dan komuniti, sambil meningkatkan keselamatan siber, daya tahan dan tadbir urus yang dipercayai,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial