KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang menyambut ulang tahun ke-80 hari ini, disifatkan sebagai medium penting yang kekal relevan dalam menyampaikan maklumat kepada segenap lapisan masyarakat di seluruh pelosok negara.
Menerusi hantaran di Facebook, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata selama lapan dekad, RTM kekal sebagai “Teman Setia Anda” yang sentiasa mendampingi rakyat dalam setiap detik, sama ada saat gembira mahupun ketika negara diuji.
“Daripada siaran radio hinggalah platform digital hari ini, RTM terus memainkan peranan sebagai penyampai maklumat yang sahih dan terkini.
“Semoga RTM terus kekal relevan, dipercayai serta menjadi wadah utama dalam menyatukan rakyat Malaysia. Buat seluruh warga RTM, Selamat Hari RTM ke-80 saya ucapkan,” katanya dalam hantaran itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pula berkata peranan RTM semakin penting dalam memastikan rakyat terus menerima maklumat yang tepat, seimbang dan boleh dipercayai terutamanya dalam keadaan ketidaktentuan global serta kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).
Menurut Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, RTM perlu terus ke hadapan dalam menyampaikan maklumat sahih, di samping memperkembangkan bakat tempatan, mengetengahkan hasil karya anak seni, serta menggunakan teknologi secara berhemah supaya kekal relevan, diyakini dan menjadi medium utama dalam menyatukan serta membina jati diri negara.
“Terima kasih kepada semua warga kerja RTM atas dedikasi, komitmen, dan usaha tanpa jemu dalam memastikan maklumat sampai kepada rakyat dengan tepat dan berintegriti.
“Semoga RTM terus maju, kekal sebagai peneraju penyiaran awam, dan menjadi jambatan perpaduan rakyat Malaysia, demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya dalam hantaran di Facebook.
RTM ditubuhkan pada 1 April 1946, bermula dengan stesen siaran radio manakala siaran televisyen diperkenalkan pada 28 Dis 1963.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial