EKONOMI

DNeX Kemuka Program Sukuk Wakalah Bernilai RM3 Bilion

01/04/2026 04:06 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Dagang NeXchange Bhd (DNeX) mengemukakan program nota Islam sehingga RM3.0 bilion nilai nominal dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Dalam satu kenyataan, DNeX berkata program itu terdiri daripada nota jangka sederhana Islam senior (sukuk wakalah senior) dan nota Islam kekal subordinat (sukuk wakalah kekal), yang secara kolektifnya dikenali sebagai program sukuk wakalah.

Program itu berdasarkan prinsip syariah Wakalah Bi Al‑Istithmar dan membolehkan penerbitan sukuk berterusan senior dan subordinat. 

Selain itu, program tersebut turut menyediakan fleksibiliti kepada DNeX untuk menerbitkan sukuk berkaitan kemampanan dan/atau kemampanan selaras dengan garis panduan/piawaian tempatan, serantau dan global yang berkaitan yang dikeluarkan oleh SC, Forum Pasaran Modal ASEAN dan Persatuan Pasaran Modal Antarabangsa. 

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulannya, Vinie Chong Pui Ling berkata program sukuk wakalah itu memberikan DNeX lebih fleksibiliti untuk mengoptimumkan struktur modal dan pengurusan aliran tunai sambil menyokong pertumbuhan berterusan merentasi perniagaan terasnya iaitu semikonduktor, teknologi maklumat dan tenaga. 

Menurut DNeX, syarikat itu dan anak syarikatnya akan menggunakan pendapatan daripada sukuk tersebut bagi modal kerja, pelaburan dan perbelanjaan modal.

“Jika sukuk wakalah kemampanan diterbitkan, pendapatannya akan diperuntukkan kepada projek yang layak selaras dengan rangka kerja kewangan mampan DNeX, manakala penerbitan sukuk berkaitan kemampanan akan diselaraskan dengan keperluan berkaitan yang dinyatakan dalam rangka kerja itu,” katanya.

DNeX berkata RAM Rating Services Bhd telah memberikan penarafan A1/stabil bagi sukuk wakalah senior dan A3/stabil untuk sukuk wakalah kekal. 

Penarafan itu mencerminkan kepelbagaian profil perniagaan kumpulan itu dan kehadirannya yang kukuh dalam sektor semikonduktor dan teknologi maklumat. 

RAM Sustainability Sdn Bhd telah memberikan Penarafan Kewangan Mampan Emas susulan penilaian pendapat pihak kedua terhadap rangka kerja kewangan mampan DNeX. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan