EKONOMI

Anwar: Prestasi Ekonomi 2025 Bukti Dasar Kerajaan Berkesan

31/03/2026 11:18 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama)-- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkembangan ekonomi Malaysia yang positif merupakan cerminan kepada petanda bahawa dasar yang dilaksanakan kerajaan berada di landasan yang tepat. 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata ini dapat dilihat menerusi Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2025 yang diterbitkan hari ini yang memperlihatkan asas ekonomi negara yang kukuh dan berdaya tahan serta tatakelola yang baik. 

"Ekonomi negara berjaya mencatat pertumbuhan  sebanyak 5.2 peratus pada 2025 didokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan. 

"Kadar inflasi pada 1.4 peratus adalah yang terendah dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini," katanya menerusi laman X.

Pada masa yang sama, Anwar berkata pertumbuhan ekonomi bagi 2026 pula diunjurkan berkembang antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus, manakala inflasi keseluruhan pada tahun ini dijangka kekal sederhana dengan diunjurkan sekitar 1.5 peratus hingga 2.5 peratus. 

Beliau berkata dalam situasi konflik di Asia Barat yang memberi tekanan kepada harga komoditi dan rantaian bekalan, Malaysia tetap menghadapi cabaran global ini dengan kesiapsiagaan yang mapan.

"InsyaAllah dengan sistem kewangan yang mempunyai berdaya tahan, kita akan terus mengimbangi pertumbuhan ekonomi dan melindungi rakyat," katanya.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan