EKONOMI

Inflasi Keseluruhan Dijangka Kekal Sederhana Antara 1.5 - 2.5 Peratus Pada 2026 - BNM

31/03/2026 10:49 AM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana, berpurata antara 1.5 peratus hingga 2.5 peratus pada 2026 walaupun harga komoditi global diunjurkan mengalami turun naik yang lebih besar berikutan konflik geopolitik di Asia Barat, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurut BNM dalam Laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2025 yang dikeluarkan hari ini, kadar pertukaran yang lebih kukuh dijangka membantu mengekang kenaikan harga import.

“Langkah-langkah dasar dalam negeri juga akan membantu mengurangkan kesan tekanan kos global terhadap harga dalam negeri.

“Sehubungan itu, tekanan kos yang dihadapi oleh syarikat dijangka kekal terkawal, dengan amalan penetapan harga yang secara amnya terus berhati-hati dalam segmen runcit dan perkhidmatan,” katanya.

Menurutnya secara keseluruhan, perkembangan ini menunjukkan trajektori inflasi yang secara relatifnya lebih terkawal sepanjang tahun.

BNM turut melaporkan inflasi teras diunjurkan berpurata antara 1.8 peratus hingga 2.3 peratus pada 2026, selaras dengan jangkaan bahawa kegiatan ekonomi akan terus berkembang sejajar dengan potensi, tanpa menjana tekanan inflasi yang ketara yang didorong oleh permintaan. 

Menurutnya risiko kenaikan inflasi termasuk peningkatan kos input susulan harga komoditi global yang tinggi.

Dalam senario sedemikian, sektor yang lebih sensitif kepada harga import seperti makanan, boleh berdepan dengan tekanan kos yang lebih tinggi, dan sebahagian pengeluar dan peruncit juga mungkin mengambil kesempatan untuk menaikkan harga, katanya.

Menurut bank pusat, dari sudut risiko penurunan inflasi, permintaan global yang lebih lemah boleh menjejaskan aktiviti dalam negeri manakala harga komoditi global yang lebih rendah boleh mengurangkan kos import dan meredakan tekanan inflasi.

“Perkembangan kadar pertukaran juga akan mempengaruhi tekanan kos import, yang seterusnya boleh memberikan kesan kepada inflasi,” katanya.

Mengenai dasar monetari, BNM akan terus memberikan tumpuan kepada usaha menggalakkan keadaan yang menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan di samping memastikan inflasi kekal terkawal.

Sambil menekankan bahawa inflasi diunjurkan kekal sederhana, BNM memaklumkan risiko kenaikan inflasi boleh berpunca daripada tekanan kos luaran yang muncul kembali.

Risiko penurunan inflasi mungkin timbul daripada pertumbuhan global yang lebih perlahan serta keadaan permintaan dalam negeri yang lebih sederhana, katanya.

“Pada 2026, keputusan dasar monetari akan terus berpandukan penilaian Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) terhadap risiko kepada prospek inflasi dan pertumbuhan Malaysia,” katanya.

Menurut BNM perkembangan dalam pasaran kewangan domestik secara amnya dijangka kekal menggalakkan, disokong oleh keadaan kewangan global yang secara umumnya akomodatif dan asas ekonomi Malaysia yang kukuh.

Dalam pasaran bon, katanya kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dijangka secara umum kekal, disokong oleh persekitaran kadar faedah global dan aliran masuk asing secara beransur-ansur.

Sementara itu, prestasi pasaran ekuiti domestik dijangka disokong oleh keyakinan pelabur yang semakin meningkat, selari dengan prospek pertumbuhan Malaysia yang positif, katanya.

“Keadaan pembiayaan akan kekal menyokong pertumbuhan pada 2026, didorong oleh pertumbuhan kredit yang mampan dalam keadaan pengembangan ekonomi yang berterusan dan keadaan peminjaman yang kondusif,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan