DUNIA

Serangan Iran Ke Atas Loji Janakuasa Dan Penyahgaraman Air Kuwait Ragut Nyawa Pekerja

30/03/2026 11:18 AM

ISTANBUL, 30 Mac (Bernama-Anadolu) -- Satu serangan Iran pada Ahad malam ke atas sebuah bangunan perkhidmatan di loji janakuasa dan penyahgaraman air di Kuwait meragut nyawa seorang pekerja serta menyebabkan kerosakan material yang besar, menurut Kementerian Elektrik negara itu pada awal Isnin.

Kementerian itu memaklumkan bahawa mangsa yang maut ialah seorang warga India, lapor Anadolu Ajansi.

Menurut kementerian berkenaan, serangan itu menyebabkan kerosakan besar infrastruktur di kemudahan berkenaan.

Pasukan teknikal dan kecemasan segera digerakkan di bawah pelan kecemasan bagi menangani kesan serangan itu serta memastikan operasi terus berjalan seperti biasa, menurut kementerian berkenaan.

Ia menambah bahawa pihak berkuasa sedang menyelaraskan usaha dengan agensi keselamatan serta badan berkaitan bagi mengawal keselamatan tapak yang rosak.

Ketegangan serantau terus memuncak sejak Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Feb lepas, yang setakat ini mengorbankan lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu Ayatollah Ali Khamenei.

Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, menyebabkan kematian dan kerosakan terhadap infrastruktur selain mengganggu pasaran global serta penerbangan.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan