IPOH, 28 Mac (Bernama) -- Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun sembilan bulan meninggal dunia dengan beberapa kesan kecederaan mencurigakan pada badannya, dipercayai menjadi mangsa penderaan dalam kejadian di Taiping, Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Abdul Malek Ismail berkata pihaknya menerima laporan berhubung kematian mangsa daripada pegawai perubatan Hospital Taiping.
Beliau berkata kanak-kanak itu dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan ditempatkan di Zon Merah pada 12.43 tengah hari.
“Doktor yang bertugas telah memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama 30 minit, namun mangsa tidak menunjukkan pemulihan peredaran spontan (ROSC) sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.12 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan mencurigakan pada badan mangsa, manakala keputusan bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan pada bahagian kepala dan leher disebabkan hentakan objek tumpul,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Susulan itu, Abdul Malek berkata polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Beliau berkata empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia antara 27 hingga 53 tahun, yang juga ahli keluarga mangsa, telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 27 Mac bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Kes ini berjaya diselesaikan dengan penahanan semua suspek terbabit,” katanya.
--- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial