JENAYAH & MAHKAMAH

Bomba Punggai Bertarung Padam Kebakaran Demi Keselamatan Penduduk

24/03/2026 04:30 PM

KOTA TINGGI, 24 Mac (Bernama) -- Tatkala jutaan keluarga di seluruh negara sedang menikmati kemeriahan sambutan Aidilfitri, wira celoreng oren dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai di sini sebaliknya “beraya” di tengah-tengah bahang api dan kepulan asap tebal.

Sejak 21 Mac lepas, mereka berhempas-pulas tanpa mengira penat lelah bagi memadamkan kebakaran belukar seluas 150 hektar di sepanjang Lebuhraya Bypass Punggai menuju ke Sebana Cove, yang kini memasuki hari keempat operasi.

Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Iz’aan Nazmi Suri, 24, berkata sambutan raya tahun ini meninggalkan kesan mendalam kerana beliau baru sahaja mendirikan rumah tangga pada Januari lepas.

“Mahu atau tidak, ini adalah tanggungjawab kami untuk keselamatan orang awam. Meskipun bekerja pada hari raya, masih terasa sayu apabila berkhidmat semasa Aidilfitri,” katanya kepada Bernama sambil tangannya kemas memegang hos merah yang mempunyai tekanan pancutan air mencecah 12 kilogram.

Senada dengannya ialah anak jati Sandakan, Sabah PB Deddy M. Borhan Umaali, 37, yang menyifatkan situasi berjauhan dengan keluarga pada musim perayaan sebagai lumrah sepanjang tujuh tahun berkhidmat sebagai anggota bomba.

Beliau menyifatkan cuaca kering dan angin kencang sebagai cabaran utama yang menguji kecekalan pasukan itu, selain sumber air yang semakin berkurangan di lokasi kejadian.

“Pada musim perayaan ini, memang tiada cuti. Kebakaran dilaporkan oleh orang awam pada 20 Mac ketika api sudah besar (merebak). Walaupun sepatutnya berkumpul dengan keluarga, kami tetap turun padamkan kebakaran,” kata penyelia pasukan C itu.

Sementara itu, PB Dyeon Pengiran, 31, yang berasal dari Sipitang, Sabah berkata pesanan keluarga agar sentiasa berhati-hati ketika bertugas menjadi azimat buatnya untuk terus bertahan di bawah terik matahari dan kepulan asap.

“Perasaan sedih memang ada tetapi kami sebagai anggota bomba tetap kena teruskan demi jabatan (bomba). Kami memegang satu motivasi untuk terus berkhidmat supaya kebakaran ini dapat dipadamkan demi keselamatan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama mendapati kebakaran itu turut menjejaskan kemeriahan sambutan Aidilfitri penduduk setempat berikutan bau asap daripada kepulan asap tebal.

Seorang penduduk Kampung Punggai, Hafizah Bohran, 30, berkata majlis rumah terbuka yang diadakan keluarganya semalam terganggu apabila kepulan asap tebal memasuki ruang rumah sehingga menyebabkan anak-anak mula mengalami batuk.

“Asap memasuki ruang rumah, mengganggu tetamu yang hadir dan tidur malam kami pun tidak selesa kerana bau asap,” katanya.

Peniaga kedai runcit Syed Muhammad Halif Syed Abdul Mutalib, 24, berkata selain bau asap yang melekat pada baju raya, habuk lalang yang terbakar turut mencemarkan persekitaran rumahnya di Teluk Ramunia.

“Mujur pihak bomba melakukan tindakan pemadaman dengan pantas. Situasi asap tebal di sini bertambah baik hari ini. Kawasan kebakaran sangat luas,” katanya.

Setakat 8 pagi tadi, Pegawai Operasi BBP Punggai, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Alvinni Anak Jackson memaklumkan sebanyak 63 hektar atau 42 peratus daripada keseluruhan kawasan terjejas berjaya dipadamkan dengan bantuan Polis Diraja Malaysia dan Yayasan Perladangan Johor.

Beliau berkata operasi diteruskan menggunakan jentera Fire Rescue Tender (FRT), aliran hos, breaching, nozzle dan pam Godiva GP10/10 dengan menggunakan sumber air terbuka berhampiran.

Tinjauan Bernama setakat tengah hari tadi mendapati operasi pemadaman kebakaran belukar di sepanjang Lebuhraya Bypass Punggai menuju ke Sebana Cove masih giat dijalankan, dengan asap semakin berkurangan di beberapa kawasan berdekatan Kampung Punggai, Teluk Ramunia dan Taman Bayu Damai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan