KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Malaysia akan terus menyokong dan memperkukuh usaha diplomasi Indonesia dalam meredakan konflik Iran-Israel bagi memastikan ketegangan dapat diredakan dan nyawa orang awam dilindungi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha Jakarta itu juga diharap dapat membuka ruang rundingan yang bermakna ke arah penyelesaian yang aman dan berkekalan di Asia Barat.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Perdana Menteri berkata perkara itu merupakan antara yang dibincangkan sewaktu perbualan telefon beliau bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto, semalam.
"Kami berdua bersama-sama menggesa kepada keamanan dan saya memaklum Presiden Prabowo bahawa Malaysia menyokong segala usaha yang menjurus ke arah perdamaian dan penyelesaian konflik tersebut," kata beliau.
Selain isu serantau dan antarabangsa, Anwar berkata beliau dan Prabowo turut bersetuju untuk mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi memperkukuh hubungan dua hala yang sedia erat antara kedua-dua negara.
"Kami bersetuju untuk mengatur pertemuan dalam masa terdekat, termasuk cadangan saya untuk berkunjung ke Jakarta sebagai langkah memperkukuh hubungan dua hala yang sedia erat," kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial