FOKUS BERNAMA

Bahrain, Sebuah Kerajaan Yang Bangga Dengan Warisan Kelautannya

24/03/2026 09:56 AM
Daripada Abdul Hamid A Rahman

Adakah anda nampak gelembung air itu?”

Soal Abbas AlFaraj, seorang pemandu pelancong berlesen di Bahrain, sambil menunjuk ke arah perairan cetek berhampiran Kubu Bahrain (Qal’at al-Bahrain) di pantai bahagian utara pulau itu, di mana gelembung air naik secara berterusan dari dasar laut.

"Adakah kamu tahu apa itu?" soalnya lagi.

"Gelembung air," jawab saya, tanpa berfikir panjang.

Beliau tersenyum. "Itulah Bahrain,” katanya.  

ASAL “DUA LAUT”  

Gelembung air itu, jelasnya, menandakan pertemuan antara air tawar bawah tanah dan air masin di Teluk Arab, satu fenomena alam yang jarang berlaku yang menjadi asal nama Bahrain, daripada frasa Arab Al-Bahrayn yang bermaksud “dua laut”.

Kerajaan Bahrain, sebuah kepulauan yang terdiri daripada 33 pulau semula jadi dan juga mempunyai banyak pulau buatan manusia, terletak di Teluk Arab dan mempunyai kira-kira 1.5 juta penduduk.


Pemandu pelancong berlesen di Bahrain, Abbas AlFaraj ketika menerangkan mengenai industri tradisional mutiara Bahrain.

Pada zaman silam, sebelum menikmati kekayaan daripada hasil minyak dan penganjuran acara sukan antarabangsa, “pertemuan dua air” ini menyokong petempatan awal dan membolehkan Bahrain berkembang sebagai pusat perdagangan maritim yang menghubungkan Mesopotamia, Lembah Indus dan kawasan lain.

Berdiri di situ dalam hembusan bayu sejuk Februari, dengan angin dari Teluk Arab bertiup lembut merentasi kawasan kubu, saya menyedari bahawa kisah Bahrain bukan sekadar berkisar pada satu monumen sahaja.

(Penulis berada di Bahrain kerana mengikuti lawatan kerja yang dianjurkan oleh Bahrain Tourism and Exhibitions Authority pada pertengahan Februari 2026.)

Di Qal’at al-Bahrain, sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO yang didiami manusia selama hampir 4,500 tahun, tahap pemeliharaannya sangat ketara. Kawasan arkeologi itu terbentang luas di sepanjang pesisir pantai dan sebahagian besarnya bebas daripada gangguan komersial. Kemasukan adalah percuma, dengan hanya bayaran kecil dikenakan untuk muzium yang terletak berhampiran.

Di sepanjang laluan juga tiada deretan panjang gerai cenderamata. Pengunjung dapat bergerak melalui lapisan-lapisan sejarah dengan ruang untuk berhenti seketika dan menghayatinya. Segalanya seolah-olah dirancang begitu supaya sejarahnya dapat dirasai.

Abbas berpakaian jubah putih tradisional Bahrain dan penutup kepala mengendalikan lawatan itu menggunakan bahasa Inggeris yang fasih. Beliau ialah penutur asli bahasa Arab dan juga boleh berbahasa Sepanyol. Beliau tidak tergesa-gesa apabila bercakap dan tidak menjual apa-apa, sebaliknya hanya menerangkan sejarah tempat itu kepada pengunjung dengan rasa bangga.

“Sejarah kami berakar umbi dalam perdagangan,” tambahnya.

Selepas meninggalkan kubu, kumpulan kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya. Sepanjang perjalanan, saya perasan replika kapal kayu tradisional di pelbagai lokasi di pulau itu – di sepanjang tepi pantai, berhampiran bulatan jalan raya, malah di koridor hotel tempat kumpulan kami menginap – peringatan tentang masa lampau Bahrain sebagai pusat maritim.

Sebuah negara moden, namun sangat bangga dengan identiti kelautannya, terdetik dalam fikiran saya.  

LALUAN MUTIARA DAN WARISAN MARITIM  

Dari Qal’at al-Bahrain, kami meneruskan perjalanan menelusuri jalan-jalan yang lebih sempit dan kawasan kejiranan lama. Di Muharraq, Laluan Mutiara (Pearling Path) sepanjang 3.5 kilometer menghubungkan rumah lama pedagang mutiara yang telah dipulihara, bekas kawasan tiram serta kubu pesisir yang suatu ketika dahulu menjadi tulang belakang ekonomi kawasan tersebut.

Selama berabad-abad, penyelam mutiara terjun berulang kali ke dalam Teluk Arab, menahan nafas selama satu hingga dua minit setiap kali dan melakukan puluhan selaman dalam sehari. Ia merupakan pekerjaan yang memenatkan dan berbahaya yang memerlukan ketahanan serta kemahiran.


Penulis sempat menikmati Makanan di restoran tempatan di atas meja yang beralaskan plastik.

“Saya juga seorang penyelam,” kata Abbas sambil ketawa, sebelum menambah bahawa dia mampu menahan nafas kira-kira satu minit di bawah air. “Tapi tidak sama seperti nenek moyang saya. Mereka boleh menyelam lebih lama,” ujarnya.

Sebahagian besar Laluan Mutiara itu boleh diterokai secara bebas dan percuma. Penekanannya adalah pada tafsiran sejarah dan kesinambungan warisan, bukannya jualan barangan. Rumah yang dipulihara, peralatan menyelam tradisional serta persekitaran jalan yang dikekalkan membolehkan pengunjung melihat bagaimana industri mutiara pernah berkembang di situ.  

SOUQ AL MANAMA  

Kemudian, kumpulan kami berkunjung ke Souq Al Manama, di mana sejarah berubah daripada konsep pemeliharaan yang tersusun kepada perdagangan masa kini. Lorong-lorong sempitnya dipenuhi kedai rempah, tekstil, emas dan lain-lain.

Para peniaga menyapa pengunjung dengan sopan dan memberi ruang kepada mereka untuk melihat-lihat. Suasananya tidak terasa asing, mengingatkan saya kepada Masjid India di Kuala Lumpur, di mana perdagangan tradisional menyesuaikan diri dalam kota moden.


Suasana yang meriah di sekitar Souq Al Manama.

Selepas itu, kami makan tengah hari di sebuah restoran tempatan yang menawarkan gambaran tentang kehidupan harian di situ. Hidangan disajikan secara berkongsi di atas meja yang dilapik dengan helaian plastik ringkas – praktikal, bersih dan mencerminkan suasana santai restoran tempatan.

Sebelum meninggalkan pasar tradisional itu, saya membeli satu kilogram gula-gula coklat sebagai cenderahati, tanda kenangan untuk rakan sekerja dan keluarga di tanah air.  

PELANCONGAN DAN KETERLIBATAN GLOBAL  

Bagi saya, Bahrain tidak terperangkap dalam masa silamnya. Negara ini menjadi tuan rumah Formula One Bahrain Grand Prix dan terus menarik kedatangan pelawat antarabangsa, dengan sektor pelancongan menyumbang kira-kira tujuh peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar  negara ini.

Ia moden, terhubung dan berpandangan terbuka.

Namun, apa yang kekal dalam ingatan saya bukanlah litar perlumbaan Bahrain atau bangunan pencakar langitnya. Sebaliknya, ia adalah saat Abbas menunjuk ke arah gelembung air yang timbul dari laut dan berkata, "Itulah Bahrain.”

Mungkin apa yang dimaksudkan oleh beliau begini: Bahrain dibina bukan sahaja daripada apa yang pernah diperoleh dari laut seperti perdagangan, mutiara dan laluan pelayaran, tetapi juga daripada warisan yang dipelihara. Perdagangan mempunyai tempatnya sendiri, namun identiti sering kali bertahan lebih lama dan istimewa.

Malaysia juga lahir daripada ombak laut. Sejarah kita suatu ketika dahulu berpusat di Selat Melaka, melahirkan sebuah empayar yang dibentuk oleh identiti maritim yang sama mendalamnya seperti Bahrain.

Jika kita dapat menuntut kembali rasa bangga yang sama terhadap asal-usul kita, mungkin suatu hari nanti kita juga boleh menunjuk ke arah ufuk kita sendiri dan berkata dengan keyakinan yang sama: “Inilah Malaysia”.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan