KLUANG, 23 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan misi kemanusiaan melalui penerbangan ehsan bagi pemindahan organ melibatkan pendermaan buah pinggang, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Johor, Penguasa Kanan Bomba I Muhammad Tarmizi Md Jaafar berkata misi itu dilaksanakan susulan permohonan Pusat Transplan Nasional Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang menerima organ pendermaan daripada Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Beliau berkata JBPM menggerakkan aset udara bagi membawa pasukan perolehan organ bersama peralatan perubatan dari lokasi pengambilan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kota Tinggi, Kluang ke Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), Subang.
“Operasi menggunakan helikopter jenis Mi-17 itu melibatkan sembilan anggota diketuai Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Faizal Abd Latif, bersama tiga petugas perubatan dengan muatan peralatan dianggarkan seberat 40 kilogram.
“Helikopter mendarat di padang SMK Jalan Kota Tinggi pada 12 tengah hari sebelum berlepas ke destinasi seterusnya. Misi ini dikategorikan sebagai operasi ‘Medical Evacuation’ (MEDEVAC) yang memerlukan tindakan pantas serta koordinasi rapi antara agensi bagi memastikan organ berada dalam keadaan optimum untuk pemindahan kepada penerima,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Tarmizi berkata keperluan segera dalam misi berkenaan amat kritikal memandangkan organ perlu dipindahkan dalam tempoh singkat bagi mengekalkan fungsi dan kualitinya.
“Kerjasama erat antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan JBPM mencerminkan keprihatinan serta kecekapan agensi kerajaan dalam usaha menyelamatkan nyawa melalui pendermaan organ,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial