AM

Prasarana Kemuka Pelan Pemulihan LRT Kelana Jaya Kepada Kementerian Pengangkutan

21/03/2026 01:50 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah mengemukakan pelan tindakan pemulihan yang komprehensif kepada Kementerian Pengangkutan susulan gangguan perkhidmatan terbaru di laluan LRT Kelana Jaya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Amir Hamdan berkata pelan tersebut, yang memberi tumpuan kepada tindakan khusus merangkumi aspek teknikal operasi serta pengalaman keseluruhan pelanggan, telah dibentangkan dalam satu mesyuarat pasca-Kabinet baru-baru ini.

“Alhamdulillah, saya rasa mereka telah menerima laporan kami. Kini menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan pelan tindakan ini dilaksanakan tepat pada masanya supaya perkara ini tidak berulang, atau sekurang-kurangnya dapat meminimumkan gangguan serta risiko gangguan,” katanya.

Amir bercakap kepada pemberita selepas lawatan ke lokasi bagi memantau operasi rel dan bas Rapid KL pada pagi Aidilfitri di MRT Pasar Seni, di sini hari ini, dan beliau turut beramah mesra dengan petugas yang bekerja dan penumpang.

Mengenai penglibatan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), beliau menegaskan agensi itu sentiasa mengikuti perkembangan operasi Prasarana.

Amir menjelaskan bahawa Prasarana mengekalkan jadual pelaporan yang teliti dan mengikut standard kepada APAD setiap kali berlaku insiden bagi memastikan ketelusan penuh serta pematuhan kepada piawaian keselamatan.

“Dalam hal ini, APAD sentiasa bersama kami. Setiap kali ada arahan, APAD akan segera dimaklumkan. Kami mempunyai sistem pelaporan berkala kepada APAD, termasuk laporan 24 jam, 7 hari dan 21 hari. Itu adalah prosedur standard,” katanya. 

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengarahkan APAD menjalankan siasatan terperinci terhadap isu teknikal yang menjejaskan laluan Kelana Jaya, serta meminta Prasarana menyediakan pelan pemulihan yang jelas bagi mengelakkan kejadian berulang di laluan rel paling sibuk negara itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Amir berkata 3,200 warga Prasarana bertugas sepanjang musim perayaan ini.

Beliau berkata walaupun jumlah penumpang di bandar dianggarkan menurun 50 peratus sepanjang tempoh Aidilfitri, pihaknya tetap komited untuk mengekalkan kebolehpercayaan perkhidmatan yang tinggi serta keselamatan bagi semua pengguna.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan