AM

Maskot TMM2026 "Talian Hayat" Kepada Beruang Madu

19/03/2026 11:19 AM

Oleh Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Kedatangan pelancong dari seluruh dunia ke negara ini, kini disambut oleh “Wira” dan “Manja” yang merupakan maskot rasmi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, dengan wajah ceria “mereka” menghiasi lapangan terbang, papan iklan digital serta lokasi tumpuan pelancong, sekali gus menjadi wajah baharu sektor pelancongan negara.  

Walau bagaimanapun, lebih 1,000 kilometer jauh di tengah hutan hujan Sabah, beruang madu yang menjadi inspirasi di sebalik watak-watak itu berdepan realiti yang jauh lebih suram apabila haiwan tersebut bergelut untuk hidup disebabkan habitat yang semakin mengecil, pemburuan dan perdagangan haiwan untuk peliharaan secara haram.

Spesies beruang paling kecil di dunia itu, yang diklasifikasikan sebagai “terancam” dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN), sedang mengalami kemerosotan mendadak dari segi populasi di seluruh Asia Tenggara akibat daripada faktor berkenaan, dengan pakar turut memberi amaran bahawa fragmentasi habitat di Borneo dan Sumatera akan mempercepatkan kepupusannya. 

Bagi pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif  Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC) Dr Wong Siew Te, pemilihan sebagai maskot kempen TMM2026 merupakan satu kejayaan yang sudah lama dinantikan bagi spesies itu yang beliau gelar sebagai “beruang yang dilupakan”, berbanding harimau Malaya dan orang utan yang sering mendominasi tajuk berita pemuliharaan 

“Nama saintifiknya Helarctos MalayanusHela dalam bahasa Latin bermaksud matahari, arctos beruang dan  Malayanus bermaksud Malaya. Ia ada identiti yang berkait terus dengan Malaysia. Ini bukan badak Sumatera, ini Malaya, macam Harimau Malaya,” kata Wong kepada Bernama ketika ditemui di BSBCC di  Sepilok, Sandakan, Sabah.

Ahli biologi hidupan liar kelahiran Pulau Pinang berusia 57 tahun itu menjelaskan sebagai spesies yang bergantung sepenuhnya kepada hutan, beruang madu memerlukan habitat yang luas dan tidak terganggu, satu keadaan yang semakin sukar untuk dikekalkan di seluruh Asia Tenggara.

“Sejak beberapa dekad ini, populasi manusia meningkat dengan pesat terutama di negara membangun di Asia Tenggara. Apabila populasi meningkat, kita memerlukan lebih banyak kawasan untuk tempat tinggal dan pertanian seperti ladang sawit serta getah.

“Akibatnya, kita terpaksa bersaing dan merampas kawasan habitat hidupan liar termasuk beruang madu. Jadi, adakah populasi beruang ini meningkat? Tidak. Hakikatnya, kawasan hutan kita semakin berkurangan setiap tahun,” katanya sambil menyifatkan usaha pemuliharaan merupakan satu projek sepanjang hayat.

Wong berkata pembukaan hutan mencetuskan satu kitaran ganas yang menyebabkan beruang madu kehilangan habitat dalam konfliknya dengan manusia, menjadikan haiwan liar itu terdedah kepada pemburu haram yang menyasarkan beruang dewasa bagi mendapatkan anggota tubuhnya manakala anak beruang  ditangkap untuk perdagangan hidupan liar secara haram.

Beliau turut mendedahkan bahawa perdagangan haram ini kerap melibatkan kejadian pemburu haram membunuh ibu beruang yang membawa anak, semata-mata untuk menangkap anak beruang untuk dijual di pasaran gelap sebagai haiwan peliharaan eksotik - seperti mana kisah Amaco, seekor beruang madu yang diselamatkan selepas dikurung dalam sangkar selama 18 tahun di sebuah ladang kelapa sawit di Lahad Datu.

Akibat bertahun-tahun dikurung, Wong berkata haiwan itu mengalami truama yang mendalam hingga kehilangan semua naluri semula jadi, malah akhirnya memilih lantai konkrit untuk berasa selamat berbanding di hutan yang ditakutinya, justeru hampir mustahil untuk ia kembali ke habitat liar.

Dengan anggaran rasmi hanya tinggal 300 hingga 500 ekor beruang madu di Semenanjung Malaysia, Wong berpendapat kempen TMM2026 itu sebagai satu kesempatan amat berharga untuk meningkatkan kesedaran mengenai nasib haiwan itu.

"Oleh kerana beruang madu digunakan sebagai maskot TMM2026, kerajaan sudah tentu sangat aktif mempromosikan kepada orang ramai. Ini membantu saya sebagai ahli konservasi untuk membangkitkan kesedaran kerana dalam kerja konservasi ini, kita mesti mengenali spesies itu terlebih dahulu. Itu langkah pertama,” katanya. 

Sehubungan dengan itu, Wong menggesa pelaksanaan penyelesaian konkrit terhadap kelangsungan hidup beruang madu, termasuk pembinaan koridor hidupan liar berskala besar dan mengintegrasikan pendidikan pemuliharaan dalam kurikulum sekolah kebangsaan, selain turut memuji komitmen kerajaan negeri Sabah untuk melindungi 30 peratus kawasan tanahnya sebagai hutan pada 2025.

Wong berkata meskipun Pelan Tindakan Beruang Madu Borneo untuk Sabah menekankan keperluan mendesak untuk kesalinghubungan hutan bagi memastikan migrasi dan pembiakan yang selamat, usaha pemuliharaan juga mesti mengambil kira faktor manusia dengan menyediakan sumber pendapatan alternatif kepada komuniti tempatan melalui pelancongan berasaskan alam semula jadi bagi mengurangkan kegiatan pemburuan haram.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, beliau tetap optimis lebih-lebih lagi didorong oleh beberapa kejayaan bermakna pusat itu seperti  program “pelepasan lembut” di Rizab Hidupan Liar Tabin, tempat beliau menyaksikan seekor beruang bernama “Tenom” dipulihkan, apabila perlahan-lahan haiwan itu kembali menyesuaikan diri dengan kehidupan liar dan menghabiskan hari-harinya mencari makanan di hutan tanpa kembali ke pusat tersebut.

"Dia sudah bersedia, satu hari nanti dia akan mampu berdikari seratus peratus,” kata Wong yang menyifatkan proses pemulihan yang menyeluruh itu sebagai amat memuaskan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan