DUNIA

Bursa Malaysia Meningkat Semula, Dipacu Aktiviti Buru Saham Berharga Rendah

17/03/2026 07:28 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia meningkat semula selepas mencatatkan kerugian selama dua hari untuk ditutup tinggi pada Selasa, dipacu aktiviti memburu saham berharga rendah dan seiring dengan prestasi pasaran serantau yang memberangsangkan.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 14.43 mata atau 0.85 peratus kepada 1,710.99 daripada paras penutup 1,696.56 semalam.

Sewaktu dibuka, indeks itu naik 6.60 mata kepada 1,703.16 dan bergerak antara 1,701.19 dan 1,713.25 pada sepanjang sesi dagangan.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 682 berbanding 432 manakala 454 tidak berubah, sebanyak 1,153 tidak diniagakan dan 21 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan melonjak kepada 2.82 bilion unit bernilai RM2.76 bilion daripada 2.38 bilion unit bernilai RM2.56 bilion semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, berkata di seluruh rantau ini, pasaran bergerak lebih tinggi, diterajui oleh saham teknologi selepas Nvidia memberikan prospek yang kukuh terhadap kecerdasan buatan.

“Sentimen pelabur terus meningkat oleh jangkaan bahawa negara-negara maju mungkin memanfaatkan rizab petroleum untuk mengurangkan kebimbangan bekalan, susulan seruan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk melindungi Selat Hormuz.

“Walaupun begitu, risiko kepada laluan perkapalan utama masih wujud, menyebabkan kebimbangan bahawa inflasi meningkat menjelang mesyuarat bank pusat yang akan datang,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, beliau berkata indeks penanda aras itu mencatatkan pemulihan yang ketara, kembali ke paras psikologi 1,700, sebahagian besarnya disebabkan oleh aktiviti memburu saham berharga rendah dalam saham wajaran tinggi terutamanya dalam sektor perbankan.

“Kami menasihati pelabur untuk sentiasa berhati-hati terhadap sebarang perubahan mendadak dalam kos tenaga, pada masa sama mengambil perhatian terhadap penyenaraian Sunway Healthcare esok,” katanya.

Thong berkata indeks penanda aras itu kini sedang menguji paras rintangan segeranya dalam julat 1,710-1,715, dan melepasi paras ini boleh membuka laluan ke arah sasaran utama seterusnya iaitu 1,730.

“Buat masa ini, FBM KLCI berkemungkinan bergerak dalam julat 1,700-1,725 ​​untuk baki minggu ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata aliran menaik FBM KLCI yang melepasi paras psikologi utama 1,700 telah didorong oleh keuntungan meluas merentasi konstituennya.

Beliau berkata saham berwajaran tinggi dalam perbankan merupakan pemacu utama, mencerminkan beta tinggi mereka terhadap sentimen risiko global dan putaran institusi yang berterusan kepada saham mudah tunai dan berkaitan indeks.

“Walaupun peningkatan semula kelihatan kukuh, sebahagian besarnya kekal didorong oleh kecairan dan bukannya dipengaruhi oleh sebarang peningkatan asas dalam keadaan geopolitik.

“Dalam konteks ini, kenaikan ini harus ditafsirkan sebagai pemulihan taktikal dengan kedudukan pelabur di Malaysia mungkin kekal defensif secara selektif, memandangkan risiko luaran yang berterusan terutamanya daripada pasaran tenaga dan perkembangan geopolitik,” katanya.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank menambah 12 sen kepada RM11.60, Public Bank dan CIMB menokok 6.0 sen masing-masing kepada RM4.86 dan RM7.86, Tenaga Nasional melonjak 2.0 sen kepada RM14.20 dan IHH Healthcare menambah 4.0 sen kepada RM8.93.  

Bagi saham aktif, Pharmaniaga naik 2.0 sen kepada 27.5 sen, Adnex yang mula disenaraikan di Pasaran ACE naik 5.0 sen kepada 25 sen, Zetrix AI meningkat 1.0 sen kepada 78.5 sen, V.S Industry menokok 1.5 sen kepada 30 sen, manakala Velesto Energy susut setengan sen kepada 32 sen. 

Kaunter paling untung menyaksikan United Plantations menambah 74 sen kepada RM34.00, Allianz Malaysia meningkat 40 sen kepada RM21.56, Itmax System menokok 30 sen kepada RM4.74, Hong Leong Bank menokok 36 sen kepada RM22.80 dan Petronas Chemicals meningkat 37 sen kepada RM4.95.

Bagi kaunter paling rugi, Nestle menguncup RM1.30 kepada RM100.90, Malaysian Pacific Industries berkurangan 26 sen kepada RM29.72, Dutch Lady Milk Industries susut 20 sen kepada RM31.80, Ajinomoto merosot 10 sen kepada RM12.40 dan Concrete Engineering Products berkurangan 9.0 sen kepada RM1.66.

Dalam pasaran secara menyeluruh, Indeks FBM Top 100 naik 99.64 mata kepada 12,329.18, Indeks FBM Emas meningkat 101.19 mata kepada 12,485.96, Indeks FBM Mid 70 meningkat 118.79 mata kepada 17,107.61, Indeks FBM Emas Syariah menambah 77.98 mata kepada 12,185.99 dan Indeks FBM ACE menambah 39.43 mata kepada 4,413.92.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 225.71 mata kepada 20,627.54, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 3.43 mata kepada 178.45,  Indeks Tenaga melonjak 1.01 mata kepada 789.97 dan Indeks Perladangan menambah 50.65 mata kepada 8,568.48.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 1.70 bilion unit bernilai RM2.56 bilion daripada 1.41 bilion unit bernilai RM2.40 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 775.62 juta unit bernilai RM97.58 juta daripada 789.97 juta unit bernilai RM98.84 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 343.14 juta unit bernilai RM110.37 juta daripada 178.31 juta unit bernilai RM65.38 juta semalam.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 222.63 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (358.89 juta), pembinaan (148.67 juta), teknologi (126.16 juta), perkhidmatan kewangan (87.27 juta), hartanah (170.59 juta), perladangan (44.18 juta), amanah pelaburan hartanah (23.99 juta), dana tertutup (133,900), tenaga (222.86 juta), penjagaan kesihatan (181.32 juta), telekomunikasi dan media (25.39 juta), pengangkutan dan logistik (40.77 juta), utiliti (47.55 juta) dan amanah perniagaan (253,700).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan