EKONOMI

Lebih 18 Juta Ancaman Siber Berasaskan Web Dikesan Di Malaysia Pada 2025 - Kaspersky

17/03/2026 02:04 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Kaspersky mendedahkan bahawa lebih 18.8 juta ancaman siber berasaskan web dikesan di Malaysia sepanjang 2025, bersamaan dengan lebih 51,000 cubaan serangan setiap hari.

Menurut data Kaspersky Security Network, syarikat keselamatan siber global itu memaklumkan bahawa melayari laman web untuk mengakses perkhidmatan dalam talian dan memuat turun fail kekal sebagai titik masuk paling biasa bagi penjenayah siber.

“Pada 2025, 26.7 peratus pengguna internet di Malaysia menghadapi ancaman melalui laman web, menjadikan negara ini berada di kedudukan ke-42 di dunia dari segi risiko ketika melayari internet,” menurut Kaspersky dalam satu kenyataan.

Ancaman berasaskan web biasanya tersebar melalui laman web yang terjejas, skrip berniat jahat, pautan palsu atau kelemahan perisian dalam pelayar dan plugin.

“Dalam beberapa kes, pengguna mungkin secara tidak sedar mencetuskan ‘drive-by download’, di mana kod jahat berjalan secara automatik hanya dengan melawat laman web yang dijangkiti, tanpa pengguna klik atau memasang apa-apa,” menurut kenyataan itu.

Kaedah lain termasuk laman phishing atau pautan palsu yang direka menyerupai produk atau perkhidmatan sah.

Pengurus Besar Kaspersky ASEAN dan Negara Pesat Membangun di Asia, Simon Tung, berkata data menunjukkan ancaman internet adalah masalah yang sentiasa wujud dalam aktiviti digital, bukannya hanya muncul sekali-sekala. 

“Kestabilan kadar pendedahan tidak bermaksud risiko berkurangan; sebaliknya ia mencerminkan betapa rapatnya interaksi dalam talian menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.

“Dengan melayari internet terus menjadi titik akses utama ke perkhidmatan digital, perbincangan kini bukan mengenai insiden terpencil, tetapi tentang mengurus lapisan risiko siber yang sentiasa wujud,” katanya.

Bagi melindungi diri, Kaspersky mengesyorkan pengguna agar berhati-hati terhadap tanda-tanda phishing dalam laman web, mesej, e-mel dan komunikasi lain; memeriksa pautan sebelum diklik; membuat sandaran (backup) dan mengimbas peranti untuk malware; mengamalkan perlindungan siber perniagaan untuk organisasi; sentiasa mengemas kini semua perisian, peranti dan sistem operasi.

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan perlindungan digital, Kaspersky menawarkan diskaun sehingga 19 peratus untuk Kaspersky Premium antara 1 hingga 31 Mac 2026, berserta RM30 Touch ‘n Go Reload PIN dengan setiap pembelian untuk tempoh terhad.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan