Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada Isnin berikutan ketegangan geopolitik yang berterusan di Asia Barat terus memberi kesan kepada sentimen pasaran.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.29 mata atau 0.14 peratus kepada 1,696.56 daripada 1,698.85 semasa ditutup Jumaat lepas.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 2.44 mata kepada 1,696.41, dan turun naik antara 1,688.46 dan 1,701.18 sepanjang sesi dagangan.
Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 619 berbanding 402 manakala 499 kaunter tidak berubah, 1,162 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan merosot kepada 2.38 bilion unit bernilai RM2.56 bilion daripada 2.87 bilion unit bernilai RM3.45 bilion pada Jumaat lepas.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran serantau menunjukkan prestasi bercampur-campur berikutan pelabur terus berhati-hati terhadap implikasi ekonomi daripada konflik yang semakin meningkat melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran, yang telah menjejaskan aliran tenaga dan meningkatkan risiko geopolitik global.
“Harga minyak mentah Brent kekal melebihi US$100 setong dalam keadaan kebimbangan yang berterusan mengenai kemungkinan gangguan bekalan di rantau Teluk.
“Prestasi indeks penanda aras yang agak mendatar mencerminkan pendirian tunggu dan lihat dalam kalangan pelabur, yang sedang menyeimbangkan antara harga minyak mentah yang tinggi kerana ketegangan perang dengan risiko konflik yang berlarutan,” katanya kepada Bernama.
Thong bagaimanapun berkata peningkatan dalam saham perladangan membantu mengurangkan kesan penurunan pasaran.
“Oleh itu, kami menjangka FBM KLCI akan bergerak dalam jajaran antara 1,690 dan 1,720 pada minggu ini,” katanya.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata ketidaktentuan pasaran kekal tinggi pada awal minggu ini berikutan pelabur terus memantau perkembangan minggu ketiga konflik melibatkan AS, Israel dan Iran, dengan pasaran tenaga masih menjadi saluran penghantaran utama kepada pasaran kewangan yang lebih luas.
“Harga minyak yang kekal melebihi US$100 setong menambahkan kebimbangan bahawa konflik ini boleh mengekalkan tekanan inflasi pada tahap tinggi, mendorong pelabur untuk terus berhati-hati terhadap aset berisiko dan menyebabkan pasaran sensitif terhadap perkembangan geopolitik,” katanya.
Setakat ini, minyak mentah Brent meningkat 2.50 peratus kepada US$105.70 setong.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank menambah 16 sen kepada RM11.48, Public Bank dan CIMB masing-masing naik 1.0 sen kepada RM4.80 dan RM7.80, IHH Healthcare masing-masing mengukuh 6.0 sen kepada RM8.89 manakala Tenaga Nasional susut 2.0 sen kepada RM14.18.
Bagi saham paling aktif, Zetrix AI naik 2.5 sen kepada 77.5 sen, Pharmaniaga menambah 1.0 sen kepada 25.5 sen, Tanco turun 12 sen kepada RM1.38 manakala OCR dan Velesto Energy masing-masing rendah setengah sen kepada 4.5 sen dan 32.5 sen.
Kaunter paling untung termasuk United Plantations yang menambah 70 sen kepada RM33.26, Petronas Dagangan meningkat 64 sen kepada RM21.90, Malayan Cement menokok 47 sen kepada RM6.62, Concrete Engineering Products meningkat 40 sen kepada RM1.75, dan Malaysian Pacific Industries naik 36 sen kepada RM29.98.
Bagi kaunter paling rugi, Apollo Food susut 32 sen kepada RM5.57, PPB Group menyusut 26 sen kepada RM11.14, Allianz Malaysia rendah 24 sen kepada RM21.16, Nestle berkurangan 20 sen kepada RM102.20 dan Petronas Chemicals turun 17 sen kepada RM4.58.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 rendah 19.88 mata kepada 12,229.54, Indeks FBM Emas susut 21.06 mata kepada 12,384.77, Indeks FBM 70 menyusut 43.12 mata kepada 16,988.82, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 21.91 mata kepada 12,108.01, dan Indeks FBM ACE rendah 1.31 mata kepada 4,374.49.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 6.43 mata kepada 20,411.83, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.25 mata kepada 175.02, dan Indeks Tenaga rendah 8.14 mata kepada 788.96 manakala Indeks Perladangan melonjak 73.64 mata kepada 8,517.83.
Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 1.41 bilion unit bernilai RM2.40 bilion daripada 1.71 bilion unit bernilai RM3.24 bilion Jumaat lepas.
Jumlah dagangan waran merosot kepada 789.97 juta unit bernilai RM98.84 juta daripada 895.71 juta unit bernilai RM109.71 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 178.31 juta unit bernilai RM65.38 juta daripada 255.45 juta unit bernilai RM98.65 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 201.37 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (254.08 juta), pembinaan (150.75 juta), teknologi (132.40 juta), perkhidmatan kewangan (78.70 juta), hartanah (173.44 juta), perladangan (34.97 juta), amanah pelaburan hartanah (25.99 juta), dana tertutup (12,900), tenaga (129.62 juta), penjagaan kesihatan (104.17 juta), telekomunikasi dan media (37.50 juta), pengangkutan dan logistik (53.37 juta), utiliti (36.85 juta), dan amanah perniagaan (170,300).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial